Mengapa Hanya Sejarah ? Perlu Pendekatan Syumul

BBB, 30 Zulkaedah = 07 November (Ahad):

Perbincangan mau mewajibkan pelajar-pelajar mengambil mata pelajaran sejarah di dalam peperiksaan Sekolah Rendah (kini UPSR) dan Sekolah Menengah (kini SPM) – PMR akan dihapuskan, dan ada yang mencadangkan juga pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan (kini STPM/STAM) telah mulai reda dari perbincangan. Agaknya semua pihak berpuashati ``akan perlunya dipaksa`` pelajar-pelajar mengambil mata pelajaran sejarah, kononnya bagi menanamkan kefahaman kepada pelajar tentang sejarah – terutama berhubung dengan tanahair, khususnya pejuang-pejuang bangsa ? agar mereka mencintai tanahair dan mengagungkan pejuang-pejuang bangsa (Pejuang yang bagaimana ?). Dari nada pembicaraan yang bersifat satu arah mungkin mempengaruhi pihak kementerian dan negara mengambil pendirian mewajibkan pelajar-pelajar mengambil mata pelajaran sejarah !

Kita bertanya, mengapa hanya sejarah ? Sejarah sahajakah yang dapat menanamkan rasa kecintaan terhadap Negara dan menghormati pejuang bangsa ? Bagaimana hanya sejarah secara tersendiri menjadi satu-satunya mata pelajaran wajib di tengah-tengah kepelbagaian mata pelajaran yang lain, di luar dari gugusannya yang kelak boleh bertukar kepada mata pelajaran yang membosan dan dipelajari bukan kerana kecintaan, tetapi kerana paksaan ?

Banyak mata pelajaran yang lain boleh menanamkan rasa kecintaan terhadap Negara sama ada dari gugusan kemanusiaan, agama dan semi sains. Contoh dari kemanusiaan seperti kesusasteraan dengan segala cabangnya, pelajaran bahasa, khususnya boleh diselit dengan elemen-elemen sejarah, kebudayaan dengan segala bidang, kewartawanan, politik, perundangan bagi peringkat tinggi dan sebagainya. Manakala bidang semi sains seperti geografi, alam sekitar, ekonomi dan sebagainya. Pertumbuhan keilmuan dan perkembangannya adalah berdasarkan elemen yang ada di dalam diri manusia, alam dan perkembangan yang menjadi tuntutan perluasan darinya. Dalam diri manusia ada fakulti akli, hati nurani, rohani dan biologi diri. Maka bidang-bidang keilmuan berkembang berdasarkan fakuti diri dan alam. Bidang Sains banyak memenuhi fakulti akli, bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan bagi memenuhi fakulti hati nurani, bidang keagamaan bagi memenuhi fakulti rohani dan bidang ekonomi/keusahawanan dan yang berkait dengannya bagi memenuhi fakulti biologi diri insan. Sejarah sebahagian kecil dan pecahan dari bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sekali lagi mengapa hanya sejarah – terasing dari gugusan dan meringgih secara bersendirian ?

Ketelitian perlu dibuat dari awal bagi merombak dan membina kurikulum bersepadu sebagai acuan bagi membina dan melahirkan pelajar yang lengkap dan syumul dari segi pendidikan dan pembelajaran. Kita hendaklah merubah dari pendekatan selama ini yang memperkotakkan pelajar kepada pelajar Sains, Sastera, keagamaan dan ekonomi. Setiap pelajar berhak didedahkan dengan kesemua pelajaran yang diperlui oleh fakulti-fakulti diri dan mereka berhak membina bakat dan keupayaan yang ada dan mengistimewakan mereka di dalam bidang-bidang pelajaran tertentu yang mereka berbakat dan berkemampuan. Kita tidak mau melahirkan manusia, robot, tumpul dari rasa kemanusiaan, jahil dari kerohanian dan rakus dengan kebendaan. Wadah ini yang kita sediakan kepada anak-anak kita selama ini. Akibatnya kita menyaksikan anak-anak kita yang bersifat robot, hilang kemanusiaan, hanyut dan mencetuskan masalah sosial.

Kita hendaklah mengambil pendekatan baru dari segi pendidikan bagi melahirkan generasi baru yang intelektual, berkemanusiaan, beragama dan jujur berurusan. Kita mau melihat lahirnya dari generasi kita intelektual di dalam bidang sains, tetapi mempunyai sentuhan kemanusiaan, beragama dan faham dengan urusan ekonomi. Begitulah dengan bidang-bidang keutamaan yang lain yang menjadi major, tetapi faham dan menghayati di dalam bidang-bidang minor yang diikuti. Kita mau melihat lahirnya tokoh-tokoh sains, pakar perubatan berwibawa, tetapi lembut kejiwaan, beragama dan peka dengan ekonomi, kita mau lihat lahirnya seniman, sasterawan dan ahli seni yang mendalam sentuhan, tetapi faham dengan keilmuan sains, teguh dengan agama dan faham soal-soal ekonomi, kita mau melihat tokoh agama – ulama yang faham bidang sains dan kemanusiaan dan ekonomi dan bigitulah tokoh ekonomi yang faham tentang sain, ada sentuhan kemanusiaan dan berpegang teguh dengan agama. Lahir di Negara kita ciptaan tempatan, hasil seni dan monument yang agung, ulama-ulama besar dengan keimuan mendalam dan pakar ekonomi dan usahawan yang faham sains dan mempunyai sentuhan seni dan kemanusiaan dan seorang yang berpegang teguh kepada agama.

Kita hendaklah menawarkan kepada pelajar-pelajar mata-mata pelajaran secara pekej. Di dalam setiap pekej mempunyai matapelajaran yang diperlui oleh semua fakulti, tetapi bagi setiap pekej mempunyai lebih pelajaran bagi pekej major berkenaan. Contoh:

a) Pekej Sains - Ada di dalamnya minimum mata pelajaran kemanusiaan, agama, ekonomi/keusahawanan.
b) Pekej Kemanusiaan – Ada di dalamnya minimum pelajaran sains, agama, ekonomi/ keusahawanan.
c) Pekej Agama – Ada di dalamnya sains, kemanusiaan, ekonomi/keusahawanan
d) Pekej Ekonomi/Keusahawana – Ada didalamnya minimum pelajaran sains, kemanusiaan dan agama. Boleh ditambah sebagai pecahan sains+Ekonomi
e) Pakej Teknik-Vocational – Ada di dalamnya kemanusiaan dan agama.

Dengan pendekatan yang sedemikian kita memberi peluang semua fakulti di dalam diri insan berkembang. Mana-mana yang menonjol dan berbakat di dalam bidang-bidang khusus diperkembang dan diberi ruang dan peluang di dalam bidang berkenaan ke peringkat tertinggi yang mereka mampu. Dalam masa yang sama kita dapat membentuk insan yang syumul dan seimbang dari segi mental, hati nurani, rohani dan fizikal. Diharap juga dengan pendekatan ini dapat membentuk manusia yang baik dan mengurangkan masalah sosial. Perlu diingat mata pelajaran sejarah tidak semestinya dimasukkan secara kasar dan direct, tetapi boleh sebagai pelengkap matapelajaran kemanusiaan,agama dan sebagainya.

Sekian.

http://drshafie.blogspot.com/2010/11/mengapa-hanya-sejarah-perlu-pendekatan.html

No comments

Powered by Blogger.