Perutusan Menteri Besar Selangor

Aidiladha adalah satu lagi perayaan yang disambut umat Islam dan disebut oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sebagai ganti kepada perayaan yang pernah disambut sebelumnya. Ia juga disambut bersama musim Haji dengan amalan ibadah korban bersamanya.

Justeru, marilah kita merayakan Aidiladha ini dengan penuh keinsafan, kegembiraan dan ketakwaan. Seperti kebiasaan, kita akan bersama di masjid membesarkan Allah subhanahu wata’ala, menunaikan solat sunat ‘Aidiladha dan mendengar khutbah sebelum meneruskan dengan gotong-royong melaksanakan ibadah korban. Ambillah peluang ini untuk terus mengeratkan tali silaturrahim.

Dalam bergembira, jangan pula kita lupa mengenangkan mereka yang tidak bernasib baik. Banyakkan membantu mereka yang memerlukan kerana sesungguhnya “golongan yang memberi itu adalah lebih baik daripada golongan yang menerima”.

Untuk membolehkan kita memberi, sudah tentulah kita mesti menjadi lebih baik daripada yang menerima dari segi kemampuan. Untuk lebih berkemampuan pula, kita dituntut berusaha dengan gigih dan beramanah. Kesempurnaan amal ini amat ditekankan oleh ajaran Islam hatta dalam hal penyembelihan haiwan korban.

Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk memperbaiki diri dan hubungan dengan keluarga, jiran dan masyarakat. Libatkanlah diri dalam kegiatan gotong royong ibadah korban, menyediakan juadah daripada daging korban, bertukar khabar dan saling kunjung mengunjung.

Sudah tentu, kita wajib menyambut perayaan ‘Aidiladha ini dengan penuh ingatan terhadap hubungan kita dengan Maha Pencipta terutama berkaitan rezeki yang halal dan berkat, juga pengorbanan kita dalam menjalankan perintah-Nya serta mengawal diri daripada melakukan hal yang dilarang-Nya.

Untuk tahun ini Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk menyumbang lembu korban sebanyak 500 ekor kepada masjid-masjid di seluruh Selangor melalui sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) dan Worldwide Holdings. Semoga dengan sumbangan ini dapat menambah kemeriahan sambutan Aidiladha.

Saya mewakili semua Exco dan wakil rakyat mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh penganut agama Islam khususnya rakyat di negeri Selangor Darul Ehsan.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.