Semua Negeri Diminta Adakan Mesyuarat Koordinasi Hadapi Banjir

SHAH ALAM, 4 Nov (Bernama) -- Semua negeri dinasihati supaya mengadakan mesyuarat koordinasi banjir sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata mesyuarat koordinasi banjir itu perlu membabitkan beberapa agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Mesyuarat koordinasi banjir ini penting bagi merancang strategi dan tindakan menyelamat sekiranya berlaku bencana alam itu yang telahpun melanda tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Melalui mesyuarat itu nanti penetapan dan pengagihan tugas boleh dilakukan dengan mudah dan tersusun untuk membantu dan menyelamat mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Pengarah Bomba Selangor di sini Khamis.

Pada majlis itu, Datuk Soiman Jahid menyerahkan tugasnya sebagai Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor kepada Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Puzi Mohd Tabot yang memangku jawatan itu.

Soiman dinaikkan pangkat sebagai Penolong Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba di Putrajaya.

Mengulas mengenai kejadian banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan, Wan Mohd Nor berkata cuti bagi kesemua anggota bomba dan penyelamat di tiga negeri terbabit telah dibekukan sejak minggu lepas bagi melicinkan operasi membantu dan menyelamat mangsa.

Katanya, operasi menyelamat itu turut dibantu oleh anggota dari Perak dan Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir terutamanya di Kedah termasuk bantuan logistik, kenderaan dan jentera penyelamat.

"Sehingga pukul 5 petang ini jumlah mangsa banjir di kesemua negeri itu telah mencecah 44,176 orang membabitkan 9,981 keluarga di 143 pusat pemindahan," katanya.

Wan Mohd Nor berkata seramai 15 pesakit buah pinggang dari Perlis dipindahkan dengan penerbangan ihsan melalui helikopter jabatan itu ke Pulau Pinang selepas bekalan elektrik terputus bagi menjalani rawatan hemodialisis.

Beliau berkata setakat ini tiada halangan bagi anggota bomba dan penyelamat dalam misi menyelamat mangsa di kesemua negeri terbabit kerana kerjasama dengan semua agensi terbabit sangat memuaskan.

"Kita sentiasa bersedia memberikan respons sepantas mungkin setiap kali menerima panggilan kecemasan atau bantuan dengan kelengkapan termasuk bot laju, bot penyelam (amfibia), lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan jip," katanya.

No comments

Powered by Blogger.