Syabas terima notis, jawab kerajaan negeri

SHAH ALAM, 24 Nov – Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS) hari ini mengesahkan bahawa pihaknya menerima notis dari kerajaan negeri yang meminta syarikat berkenaan menghentikan Program Tabung Budi.

“Isunya sekarang kita sudah terima notis dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor. Kita telah serahkan kepada pihak peguam dan kita akan jawab terus kepada kerajaan negeri,” kata Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Abdul Halim Mat Som.

Kerajaan Selangor sebelum ini meminta Kerajaan Pusat menarik balik lesen konsesi yang diberikan kepada SYABAS jika didapati mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidikan kerajaan negeri kepada rakyat menerusi Tabung Budi yang dilancarkannya pada Ogos lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, SYABAS tidak mempunyai hak untuk mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi dari kerajaan negeri melalui tabung syarikat itu.

Khalid juga memberitahu beliau akan meminta nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan pihak kewangan negeri sebab dalam perjanjian penswastaan yang dibuat bersama SYABAS, kerajaan negeri tidak menyatakan SYABAS boleh jalankan usaha ini (mengutip balik kos 20 meter padu air).

Mengulas isu ini, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), Datuk Dr Jacob George mahu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mematuhi perjanjian konsesi yang terjalin di antara syarikat itu dan kerajaan negeri.

Menurut Dr Jacob, adalah menjadi satu kesalahan kepada SYABAS melanggar perjanjian yang telah termeterai kerana ia turut melibatkan hak rakyat di negeri Selangor.

“Jika dari perundangan jika kerajaan negeri telah tetapkan untuk beri diskaun (20 liter air percuma) dan sebagainya, SYABAS sebagai syarikat konsesi di Selangor mesti ikut syarat yang ditentukan kerajaan negeri.

Justeru menurut Dr Jacob, jika SYABAS ingin membantu rakyat Selangor yang disenaraihitamkan oleh kerajaan negeri kerana menjelaskan bil tertunggak dari mendapat bekalan air percuma, pihaknya harus melakukannya atas inisiatif sendiri tanpa melibatkan subsidi yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat Selangor.

Apatah lagi, SYABAS bukanlah sebuah badan yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal kebajikan rakyat.

” Jika kita benar-benar hendak membantu pengguna di negeri Selangor, biar kita membantu secara langsung. Usahlah dipolitikkan,”katanya.

Tabung Budi dilancarkan SYABAS pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada syarikat itu.

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

No comments

Powered by Blogger.