Zaid batal sidang media, Anwar beri 'amanat' penting

Bekas calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim membatalkan sidang medianya Jumaat ini bagi menjelaskan "semuanya" berhubung pengundurannya daripada parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya itu.

"Sila ambil perhatian, sidang media Datuk Zaid esok dibatalkan ekoran beliau mempunyai hal penting, tetapi ia (penjelasannya) akan dimuatkan di blognya," kata seorang pegawainya Muhammad Firdaus Christopher melalui SMS kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, merujuk kepada laporan mengejutkan oleh sebuah harian berbahasa Inggeris bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai anggota PKR, Zaid mengesahkan perkara itu melalui blognya.

Bagaimanapun, menurutnya penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dimuatkan dalam blog Zaid untuk Rakyat esok.

Bermula dengan tidak puas hati dengan pemilihan parti, bekas pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan itu sebelum ini turut menyifatkan Anwar dan Naib Presiden Azmin Ali sebagai "punca masalah" dalam PKR.

Sementara itu, Anwar pula esok dijadual menyampaikan "amanat penting" bagi menjelaskan perkembangan semasa dalam parti itu, dijangka berkaitan sekitar kontroversi dalam pemilihan langsung parti.

Azmin - pesaing utama Zaid dalam perebutan jawatan nombor dua parti sebelum ini - mengumumkan perkara itu dalam program 'kempen' Pentas Perdana di Shah Alam minggu lalu.

"Beliau (Anwar) akan beri amat penting kepada anggota dan pemimpin parti untuk jelaskan perkembangan baru-baru ini," kata Azmin yang kini selesa dengan lebih 10,000 undi majoriti selepas Zaid berundur.

Menurut Azmin, program itu - dinamakan 'Rapat Perdana Keadilan bersama Kepimpinan Anwar - dijangka disertai 1,500 anggota parti itu.

Menurut laman berita PKR pula, program dua jam bermula 8 malam itu akan dilangsungkan di Dewan MBSA Shah Alam.

Pemilihan PKR masuk minggu terakhir Sabtu dan Ahad ini dalam keadaan diasak daripada pelbagai penjuru.

Selain Zaid, seorang lagi naib presiden dan calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub juga telah dua kali mendesak pemilihan itu dibatalkan kerana pelbagai aduan dan rungutan mengenai ketelusannya diutarakan.

No comments

Powered by Blogger.