Selangor ragu pendakwaan terhadap Khir

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor hari ini merasa ragu tentang pendakwaan terhadap bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo walaupun kerajaan persekutuan berjanji untuk bersungguh-sungguh memerangi rasuah.

"Dakwaan rasuah melibatkan pembelian sebuah mansion oleh Khir dalam sebuah kejiranan eksklusif di Shah Alam tidak melambangkan keseluruhan salah laku beliau," kata Faekah Hussin dalam satu kenyataan hari ini.

Faekah, setiausaha politik kepada Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim berkata, "pendakwaan ini tidak memperlihatkan bahawa kerajaan pusat serius dalam usaha menangani rasuah, penyakit utama di negara ini.

"Langkah ini jauh sekali dari percubaan untuk membersihkan imej Umno yang sudah tercemar," katanya.

Menurut beliau, pemimpin pembangkang Selangor itu telah melakukan kesalahan yang lebih serius dari membeli tanah bernilai RM3.5 juta itu, yang jauh lebih rendah dari harga pasaran, bertujuan untuk membina mansion itu.

Kemungkinan elak bayar cukai

Beliau berkata, kes ini tidak hanya melibatkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang mendakwa Khir ke mahkamah tetapi juga melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas kemungkinan mengelak dari membayar cukai.

"Kesalahan beliau tidak semudah yang kita boleh gambarkan. Selain SPRM, ini melibatkan LHDN dan siasatan harus dijalankan sama ada cukai yang dikenakan menurut nilai sebenar lot-lot ini kerana Khir dengan sengaja memberi maklumat yang salah kepada LHDN.

Siasatan juga harus dilakukan berhubung bayaran duti setem yang telah dibuat. "Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana percubaan untuk mengelak dari membayar cukai, yang diisytiharkan kepada LHDN, merupakan satu kesalahan yang serius," katanya.

Khir ditahan oleh SPRM dan didakwa melakukan penipuan dalam urusan tanah Isnin lalu dan beliau didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima dua tahun dan denda, atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Ini membuat Khir, yang juga seorang doktor gigi, meletak jawatan sebagai ketua pembangkang sebagai langkah untuk "membersihkan namannya" semalam. Beliau bagaimanapun kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.

Komplot Umno-BN

Tetapi Faekah sedikit pun tidak hairan dengan peristiwa terbaru ini dengan menyatakan bahawa "ini merupakan satu komplot yang dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional (BN)" untuk menyembunyi penyelewengan kuasa yang lain.

Beliau juga mejelaskan bahawa pendakwaan oleh SPRM ialah bagi memberi "laluan mudah" kepada pimpinan Umno melantik ketua pembangkang yang baru.

"Ini merupakan satu komplot untuk mempamerkan imej Umno Selangor yang "bersih" dengan menggantikan pemimpin yang hilang kredibiliti. Tetapi saya ingin menekankan bahawa rakyat tidak peduli tentang hal ini.

"Apa yang penting untuk rakyat ialah pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap para pemimpin Umno-BN yang korup dan betapa serius mereka menangani masalah in," katanya.

Faedah memberitahu Selangor berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang lebih baik, yang berjaya dibersihkan dari perbuatan "keji" dan "rasuah" oleh kerajaan yang terdahulu.

"Ini bukan kerja mudah tapi kami berjaya menyelesaikan separuh daripada masalah walaupun kami mentadbir negeri ini tidak sampai tiga tahun.

"Kesilapan yang dibuat oleh BN tidak akan diulangi oleh kami kerana kami tidak akan memandangkan ringan mengenai penilaian orang ramai," katanya.

http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=11035

No comments

Powered by Blogger.