Bloger, Pemimpin Perlu Saling Memberi & Menerima

MALAM ini Tok Guru Nik Abdul Aziz akan menghadiri pertemuan ramah mesra dan makan malam dengan bloger pro pembangkang yang akan berlangsung di sebuah hotel terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Khabarnya 150 orang bloger akan hadir. Tidak dapat dipastikan apakah bloger di sekitar KL saja ataupun dari seluruh negara. Majlis itu dianjurkan oleh Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan.

Selain Tok Guru sebagai MB, beberapa orang Exco juga akan hadir. Nik Aziz berharap beliau akan dapat ruang banyak untuk bercakap dengan bloger. Apa yang akan beliau tekankan supaya bloger menulis dengan baik dan berakhlak serta mengelak penulisan daripada membuat fitnah yang boleh menebalkan dosa.

Beliau pastinya akan menekankan supaya bloger menulis kerana Allah dan ingat bahawa apa yang ditulis itu akan dihitung dan dihisab di Yaumimashar kelak.

Saya tidak tahu apakah bloger juga diberikan ruang untuk bersoal jawab atau melontarkan pertanyaan kepada menteri besar itu. Sebab bloger juga ada kemusykilan dengan para pemimpin. Kalau ia hanya setakat ramah mesra dan mendengar nasihat Tok Guru saja rasanya majlis itu tidak memberi banyak input pada kedua-dua pihak. Kalau setakat untuk berhora hore saja atau menunjukkan pembangkang juga ada bloger dengan majlis itu tidak memberi banyak manfaat.

Semalam saya sudah bercakap dengan beberapa orang kawan semasa makan di Titiwangsa mengenai pertemuan berkenaan. Iyanya baik. Betapa dengan kekuatan sebanyak itu ia boleh jadi propagandis kepada pembangkang. Tetapi masalahnya ada bloger yang tidak berdisiplin. Maksudnya yang menulis tidak kira batas dan waktu dan memikirkan kesannya. Mereka menulis dari wajah pembangkang tetapi sesetengah perangai dan tulisannya lebih teruk dari bloger di sebelah sana.

Blog pembangkang juga tidak diuruskan dengan baik. Kerana itu ada semacam 'pebelagaan' di antara satu sama lain dalam membincang sesuatu isu. Tembak menembak sesama sendiri juga kadangkala berlaku. Banyak juga bloger yang membuat fitnah dan menulis bersumberkan lidah pihak musuh dan pendedahannya tidak boleh ditanggungjawab.

Selain itu dalam pemerhatian saya ada segelintir bloger tidak mempunyai ilmu kewartawanan yang cukup. Daif sangat. Bila ini berlaku maka banyaklah kepincangan yang mana akhirnya merendahkan mutu blog berkenaan. Akibat ini menyebabkan isu atau pun bahan yang didedahkan diragui.

Misalnya ada bloger yang tahu menulis saja. Ia membela seseorang disukai tanpa memikirkan kesan dan akibatnya. Kerana terlalu taksud kepada satu pihak menyebabkan berlaku keretakan dalam harakah yang hendak dibelanya. Selain itu ada yang ghairah berblog sampai melupai etika dan tatasusila baik sebagai orang Melayu ataupun yang beragama (Islam). Misalnya penggunaan gambar super inpose dalam blog tidak perlu. Biarlah blog di sebelah sana saja berbuat demikian.

Kita tahu perbuatan itu adalah fitnah hidup. Alasan untuk melakukannya kerana pihak sana berbuat demikian bagi saya tidak tepat. Berbalas dengan melempar najis tidak baik dan bukan ajaran agama. Untuk apa kita meniru sesuatu yang tidak baik. Biarlah blog kita berwibawa dan ada kelas, bukan blog picisan.

Perbezaan itu perlu dan menjagai kualiti itu perlu kerana blog dipantau oleh penjenguk yang berbagai-bagai. Penjenguk akan menilai blog mana yang berwibawa dan blog mana yang lintang pukang. Kalau kita menulis dalam lintang pukang, tidak ada hujah apa lagi kalau ada fitnah kering ia menyebabkan orang hanya baca blog tetapi tidak mempercayai.

Sepatutnya kemeriah dunia blog kini diperguna sebaik mungkin. Muga nasihat Tok Guru malam ini akan membawa perubahan ke dalam dunia blog khasnya di pihak pro pembangkang.

Sepekara lagi yang saya rasakan perlu, para bloger juga perlu mewujudkan persefahaman sesamanya. Maksudnya bloger pro pembangkan harus ada komiti sendiri dan melantik penghulu mereka sendiri. Mereka perlu ada jawatankuasa untuk menjadi perantara rasmi dengan pihak pembangkang.

Guna jawatankuasa ini adalah bagi menyelaraskan penulisan dalam blog dan juga mendapat maklumat tertentu atau isu-isu yang dibangkitkan. Dengan apa yang ada kini masing-masing menulis tanpa ada ikatan dan penyelarasan menyebabkan ia kurang berkesan. Malang lagi kerana tidak ada penyelarasan wujud kekeliruan sesama sendiri dan mudah pula di ambil kesempatan oleh pihak musuh.

Bila ada komiti nanti para bloger dapat diurus dan mereka akan menulis mengarah ke satu arah yang jelas dan bukan lintang pukang.

Harapnya pertemuan malam ini juga akan timbul kesedaran dari kalangan pemimpin pembangkang. Mereka bukan harus sedia menerima kritikan bloger tetapi harusnya bertindak atas apa yang dikritikan itu.

Nik Aziz juga perlu memberi ingatan sama kepada pemimpin supaya memberi perhatian kepada teguran bloger dan jangan mudah melepaskan kritikan dengan perkataan; itu dfitnah itu, bohong dan itu bloger penulis upahan! Mungkin sesetengah teguran pedih tetapi ia kena diterima sebagai satu teguran baik.

Jangan pula bila individu tertentu kena sebat oleh bloger mereka akan mengadu dan 'mengancung' kepada pucuk pimpinan atau pun memberi tahu kepada penyokong mereka, kononnya mereka difitnah dan bloger itu jahat.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sedar dan insaf kepada kritikan, dan bloger yang baik pula bloger yang mengur dengan ikhlas tanpa dibayar dan dibalas budi penulisannya oleh sesiapa. Didoakan semoga pertemuan Nik Aziz dengan bloger pro pembangkang malam ini menghasilkan natijah yang baik.

http://msomelayu.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.