Dewan boleh bersidang bila-bila masa – Speaker Selangor

SHAH ALAM 4 Jan - Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) boleh diadakan pada bila-bila masa, kata speakernya, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau dalam sidang medianya tengah hari tadi berkata, ia bergantung kepada notis yang akan dihantar oleh representasi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Menurut Peraturan Mesyuarat 10(3), jika dalam masa dewan sedang ditangguhkan, Menteri Besar mengemukakan kepada speaker, bagi kepentingan awam berkehendakan mesyuarat diadakan lebih awal, maka speaker boleh memberitahu lebih awal daripada masa dewan ditangguhkan.

“Kita boleh memanggil dewan bersidang dalam masa 24 jam dan paling cepat, sejam selepas notis dihantar,” ujar beliau.

Sidang itu diadakan bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Chang Khim walau bagaimana pun enggan mengulas lanjut berhubung perkara yang bakal dibahas sehingga beliau menerima notis daripada wakil Menteri Besar.

Semalam, dalam pertemuan Menteri Besar dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, baginda bertitah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993, iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku, yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan.

Sultan Selangor turut bertitah mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, Khalid berkata, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau juga mengumumkan tidak akan menghadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru, yang dijadualkan 6 Januari ini.

No comments

Powered by Blogger.