Dewan Pemuda PAS Kelantan Mahu Harussani Buktikan Anwar Mengiktiraf Pluralisme

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) merujuk kepada kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari Khamis, 20 Januari 2011, muka surat 8. Di bawah tajuk “Bertaubatlah Anwar – Mufti”, beliau telah melabelkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang mengiktiraf gerakan pluralisme yang jelas bertentangan dengan Islam.

2. DPPNK menyifatkan kenyataan Mufti Perak tersebut sebagai kenyataan yang bersifat politik dan hanya dikeluarkan semata-mata untuk memberikan kredit kepada UMNO dan Barisan Nasional. Mufti yang sepatutnya menjadi individu yang berkecuali telah bertindak bias di dalam mengeluarkan kenyataan dan ini boleh melunturkan rasa hormat rakyat Malaysia khususnya umat Islam terhadapnya.

3. DPPNK menggesa Harussani menyatakan bukti yang jelas bagi membuktikan dakwaannya bahawa Anwar mengiktiraf gerakan pluralisme. Adalah tidak mencukupi dengan hanya membangkitkan cerita-cerita lama yang bersifat peribadi yang hanya boleh mengesahkan dakwaan bahawa Harussani telah menjadi alat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

4. Adalah sangat mengaibkan seorang yang bertaraf mufti seperti beliau boleh membuat gesaan terbuka sedemikian tanpa bukti dan hujah yang jelas. Gesaan bertaubat pada asasnya tidak salah, tetapi apabila dibuat secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Harussani, tentu sahaja ia melibatkan isu yang besar dan serius.

5. Lebih menghairankan apabila Harussani boleh pula menyifatkan perbuatan Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menghadiri perbuatan meletakkan ancak sebagai tidak khurafat. DPPNK juga ingin mengetahui sikap Harussani dalam isu kalungan bunga yang saban tahun diletakkan oleh pemimpin negara di Tugu Negara. Adakah semua perbuatan yang boleh menjatuhkan akidah ini boleh dihalalkan hanya kerana dilakukan oleh pemimpin UMNO?

6. Justeru, DPPNK menyifatkan kenyataan Harussani hanyalah merupakan satu kenyataan politik. DPPNK menyarakan agar beliau meletakkan jawatan sebagai mufti dan terjun ke dalam politik sepenuh masa sebagai calon UMNO di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sekian.

YB HAJI ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).

Bertarikh : 20 Januari 2011.

No comments

Powered by Blogger.