Hadi, Anwar temu petang ini ‘jernihkan’ isu pertemuan 24 Disember

Oleh Shannon Teoh dan Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka mengadakan pertemuan petang ini, langkah yang dilihat bertujuan menjernihkan hubungan Pakatan Rakyat (PR) yang bermula dengan siri isu sejak awal tahun ini.

Pertemuan tertutup itu akan diadakan beberapa jam sebelum majlis solat hajat dan ceramah perdana di Shah Alam malam ini.

Kedua-dua Hadi dan Anwar akan disertai Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagi memperlihatkan solidariti pemimpin-pemimpin PR.

Agenda utama perjumpaan Ketua Pembangkang dan Presiden PAS itu dijangka memfokus pertemuan 24 Disember bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena majlis santapan di Istana Terengganu di sini.

Majlis itu yang diadakan atas undangan Yang di-Pertuan Agong dilihat bertujuan memulihkan kerjasama politik antara PAS-Umno atas nama perpaduan Melayu-Islam meskipun kedua-dua Najib dan Nik Aziz enggan mengulas agenda dan hasil pertemuan itu.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli jawatankuasa kerja pusat, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin PR jika perlu.

Pertemuan 24 Disember juga disentuh pada mesyuarat hari ini, kata beliau.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insider, pertemuan itu akan diadakan untuk mengatasi beberapa isu didepani perikatan tiga parti tersebut sejak awal tahun ini.

Selain isu perundingan kerjasama perpaduan, kemelut ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri juga dikatakan agenda utama memandangkan ia membabitkan istana dan sokongan pengundi Melayu.

“Tetapi saya tidak fikir ceramah (malam ini) akan menyentuh pertemuan malam menjelang Krismas. Ia (majlis malam ini) menyentuh pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, kes liwat Anwar dan juga Program 100 Hari jika kami mengambil alih kerajaan persekutuan,” katanya.

“Ia satu peluang bagi kami merapatkan kerjasama dan membawa mesej yang sama,” kata Ahli Parlimen Machang ini.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, beliau percaya pemimpin-pemimpinnya akan menyentuh isu pertemuan Umno-PAS dua minggu lalu.

Katanya, ia penting memandangkan Umno menggunakan pelbagai taktik, termasuk istana untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri pilihannya selain membawa pemimpin PAS bertemu bagi mencetuskan perbalahan dalam PR.

Yang Dipertua PAS Shah Alam ini menambah, majlis malam ini sudah diputuskan beberapa minggu lalu bagi mengadakan doa selamat untuk Anwar kerana parti percaya Ketua Umum PKR itu tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam kes liwat semasa.

Bagaimanapun krisis pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri menjadi agenda tambahan hari ini.

Khalid percaya perhimpunan malam ini akan menyampaikan mesej bahawa “kami bersama dalam PR dalam perjuangan yang dikongsi bersama.”

Kelmarin, Najib mengambil langkah Nik Aziz untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu di sini.

“Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan mahukan ia satu majlis peribadi,” kata Najib pada sidang media di sini hari ini.

Najib berkata beliau bersama pemimpin-pemimpin PAS menghadiri majlis makan malam demi menghormati undangan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu kami hadir. Itu sahaja. Tiada komen lagi,” kata Najib yang diminta mengulas mengenai laporn The Malaysian Insider awal minggu lalu.

Dalam kenyataan terbaru sehari sebelum itu, Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” kata beliau.

Pada 4 Januari lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu bulan lalu tiada kaitan dengan isu politik.

Nik Aziz berkata, berkata pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini bulan lepas.

“Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku,” katanya.

“Adalah sangat tidak beradab dan beretika bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa menghadap,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata: “Ia (pertemuan 24 Disember) ada dibincangkan (pada mesyuarat hari ini), kita beri penjelasan kepada mereka (pemimpin PAS) tentang apa berlaku.”

“Dalam mesyuarat yang akan diadakan nanti (13 Januari) adalah mengenai calon pilihan raya kecil sahaja.

“Tapi kalau ia dibangkitkan pimpinan Pakatan Rakyat, maka kita akan jelaskan,” katanya sambil menambah, satu mesyuarat bersama barisan pimpinan Pakatan Rakyat akan diadakan pada 13 Januari ini.

Beliau juga berkata mesyuarat yang akan diadakan itu nanti lebih memberikan tumpuan berhubung pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Pakatan Rakyat akan mengumumkan calon yang akan memikul tanggungjawab itu pada 16 Januari ini.

“Dalam mesyuarat itu nanti kita akan bincangkan pasal pilihan raya kecil (DUN Tenang), pilihan raya umum dan mengenai calon.

“Dalam agenda (mesyuarat) tiada pasal pertemuan itu tapi kita akan jelaskan jika ditanya.

“Sebenarnya tiada isu, kita nak tutup buku,” katanya mengulas lanjut pertemuan 24 Disember.

No comments

Powered by Blogger.