Interlok: Saya bukan mahu hina kaum India, kata penulis

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain mempertahankan novelnya Interlok, yang menjadi fokus kontroversi sambil berkata, beliau tidak bermaksud mahu menghina masyarakat India negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang mempertikaikannya agar membaca kandungan novel itu dengan mendalam sebelum melahirkan pendirian mereka.

Novel itu yang kini berusia empat dekad telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk dijadikan teks sastera mulai tahun ini.

“Baca betul-betul (teks Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India,” kata beliau.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, Abdullah berkata, beliau berasa dukacita kerana maksudnya baik, tetapi orang salah menerima.

“Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria’. Saya ikut (Bapa Kemerdekaan India) Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya,” kata beliau dalam temu bual ringkas ekoran faktor uzur.

Semalam, Abdullah, 91, juga menerima kunjungan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd. Ghafar Mahmud di rumahnya di Petaling Jaya.

“Ia merupakan kisah Maniam iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini.

“Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia,” kata beliau yang dilaporkan hanya hanya mampu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.

Abd. Ghafar pula berkata beliau tidak boleh berkongsi mengenai butir-butir perbincangan dengan Abdullah dalam pertemuan semalam sehingga laporan mengenainya dikemukakan kepada Kabinet.

MIC pula dilaporkan berkata, mahu Kementerian Pelajaran melakukan perubahan dalam kandungan novel itu yang dijadikan buku teks Saster Tingkatan Lima, yang akan digunakan bagi sesi persekolahan tahun ini.

Setiausaha Agungnya Datuk T Rajagopali berkata, ia penting kerana terdapat satu bahagian dalam buku tersebut yang menyentuh isu sensitif di kalangan masyarakat India.

Laporan semalam menyebut lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis mengenai insiden pembakaran novel itu oleh sekumpulan penduduk di depan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Klang, Sabtu lepas.

Kelima-lima NGO itu - Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan PIBG Nasional dan Persatuan Ikatan Melayu Asli Nusantara membuat laporan secara bersama di Balai Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Kumpulan penduduk itu mendesak kerajaan mengharamkan novel itu kerana didakwa menghina kaum India di negara ini dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran sastera subjek Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan Lima.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat memberitahu The Malaysian Insider pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan muhibah menyelesaikan isu berkenaan minggu ini.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan telah mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran bagi mengkaji semula penggunaan novel itu sebagai buku teks subjek sastera.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi memberitahu kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini.

Beberapa pihak termasuk NGO telah mengemukakan bantahan kepada kerajaan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, buku teks sastera tingkatan lima itu telah ditarik balik kerana dikatakan mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.

Puad berharap agar semua tidak mempolitikkan isu novel itu kerana niat kerajaan adalah untuk menambahkan pengetahuan di kalangan pelajar dan rakyat negara ini.

No comments

Powered by Blogger.