Isu Bazar Tok Guru: Hanya Kerajaan Negeri Boleh Selesaikan, Kata Mustapa Mohamed

KOTA BAHARU, 20 Jan (Bernama) -- Isu melibatkan perpindahan 415 peniaga dari Pasar Arked Lambok Uda ke Bazar Tok Guru hanya boleh diselesaikan kerajaan Kelantan, kata Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun katanya, beliau akan berusaha membantu termasuk meminta pemilik Pasar Arked Lambok Uda menangguhkan perpindahan atau menyediakan tapak berniaga sementara.

"Hakikatnya ini masalah yang dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan PAS. Ia hanya boleh diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Saya hanya boleh membantu peniaga sahaja setakat yang boleh," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Beliau sebelum itu bertemu dengan Persatuan Peniaga Pasar Besar Lama Arked Majlis Perbandaran Kota Baharu yang memohon bantuan Mustapa untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau akan menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta agar isu itu diselesaikan segera.

Sementara itu Pengerusi persatuan Ab. Salim Ahmad mengakui perkara itu sukar diselesaikan kerana tidak ada perjanjian secara hitam putih di antara peniaga dan kerajaan negeri.

"Dulu kerajaan negeri kata tidak perlu pun hitam putih sebab kata-kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz) itu benar dan dia akan buat. Jadi kami percaya dan terima sahaja janji dia tetapi tidak sangka sampai begini janjinya," katanya.

Isu tersebut timbul apabila peniaga berkenaan dijanjikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk menyediakan lot kedai berkeluasan 3.04 x 3.65 meter persegi dengan harga RM40,000 di Bazar Tok Guru.

Bagaimanapun keluasan sebenar lot yang diberikan hanya 1.82 x 2.4 meter persegi dan harga yang ditawarkan pula ialah antara RM80,000 dan RM90,000.

PMBK yang pada awalnya merancang membangunkan sendiri bazar itu mendakwa mereka menanggung kerugian kerana terpaksa menebus balik bazar tersebut daripada sebuah syarikat swasta.

No comments

Powered by Blogger.