Isu perlantikan SUK perlu ikut konvensyen

Isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang tidak disenangi oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat, perlu dihalusi agar ianya tidak berulang di negeri-negeri lain. Masalah yang timbul bukan kerana soal politik atau tekanan mana-mana pihak tetapi sekadar ianya tidak mengikut konvensyen atau amalan yang lazim dilakukan selama ini.

Ketua Setiausaha Negara tidak boleh dipersalahkan kerana dia telah mengikuti saluran perkhidmatn awam yang betul, iaitu melalui Setiausaha Kerajaan Negeri. KSN, selaku ketua perkhidmatan awam negara, bertindak betul dengan tidak melalui Menteri Besar. Itu adalah tugas atau peranan Setiausaha Kerajaan Negeri. KSN juga tidak tahu sama ada SUK melaporkan perkembangan mengenai perlantikan SUK baru kepada MB dan apabila melalui saluran SUK, sudah tentu KSN anggap MB dimaklumi.

Jika benar laporan yang menyebut bahawa SUK yang bakal bersara itu tidak memaklumkan sebarang perkembangan mengenai perlantikan penggantinya kepada MB ataupun pentadbiran negeri, maka disitulah letaknya punca kemelut yang sedang melanda. SUK tidak mengikut konvensyen, iaitu memaklumkan MB mengenai calon yang bakal diperakukan sebagai SUK.

Kewujudan sektor awam dan urusan perlantikan, pertukaran dan kenaikan pangkat agak unik kerana terdapat lebih daripada satu badan atau pihak yang bertanggungjawab. Semuanya berpunca daripada apa yang negara warisi daripada penjajah.

Tiap-tiap negeri ada perkhidmatan awamnya sendiri dan lantikan kepada perkhidmatan-perkhidmatan ini dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri kecuali bagi Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis. Inilah kedudukan selepas Merdeka.

Di Melaka dan Pulau Pinang, ada diperuntukkan dalam Perlembagaan bahawa lantikan ke jawatan-jawatan Negeri hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan yang diberi kuasa oleh undang-undang negeri untuk membuat lantikan kepada Perkhidmatan Awam Negeri.

Jawatan-jawatan dalam negeri-negeri adalah diisi oleh pegawai negeri, kecuali ada tempat-tempatnya jawatan itu diisi oleh pegawai Persekutuan yang dipinjamkan kepada negeri itu.

Di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dahulu, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Johor dan Terengganu, semua jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah adalah disisi oleh pegawai negeri.

Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu, iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor, semua jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah adalah diisi oleh pegawai Persekutuan yang dipinjamkan kepada negeri itu. Begitu juga dengan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Jawatan-jawatan ini adalah jawatan dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik atau PTD. Ketua bagi Perkhidmatan Awam Negeri di tiap-tiap negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri.

Isu perlantikan SUK bagi negeri Kedah, umpamanya, tidak menimbulkan masalah kerana ia dibuat dari kalangan KCS atau Perkhidmatan Awam Kedah, bukan oleh SPA atau pihak Persekutuan. Jika semua negeri mengamalkan sistem yang sama, maka tidak akan timbul masalah seperti yang berlaku di Selangor.

Setiap perkhidmatn awam negeri seharusnya memiliki kuasa atau autonomi dalam perlantikan pegawai-pegawai utama peringkat negeri. Sekiranya negeri berkenaan memerlukan pegawai yang bukan dari kalangan pegawai negeri, maka bolehlah memohon kepada SPA untuk meminjamkan pegawai PTD.

Kerjasama antara Negeri dan Persekutuan

Kerjasama antara Persekutuan dengan Negeri-negeri dijamin dan telah berjalan tanpa banyak masalah. walaupun berlaku perbezaan fahaman politik. Yang membangkitkan masalah, itupun sesekali, apabila politik dicampur-aduk dengan pentadbiran.

Contoh, wujudnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung lantikan pentadbiran negeri dan JKKK Persekutuan lantikan kerajaan Perskutuan. Kewujudan dua JKKK dalam sesebuah kampung sebenarnya memecah-belahkan penuduk kepada yang menyokong kerajaan Negeri dan yang memihak kepada kerajaan Persekutuan.

Jika mengikuti konvensyen, maka mana-mana parti politik yang memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri, parti itulah yang berhak melantik JKKK atau apa-apa institusi yang perlantikannya dibuat berdasarkan politik. JKKK dan KEMAS, sebagai contoh, adalah antara institusi berdasarkan politik. Oleh itu, perlantikan JKKK di negeri-negeri yang diperintah oleh parti lain selain Barisan Nasional, semestinya dilantik oleh kerajan negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya melantik satu lagi JKKK dengan menambah perkataan Persekutuan semata-mata untuk membezakan antara kedua-duanya. Kerajaan Persekutuan mesti menghormati hak kerajaan Negeri yang bukan sekutunya. Jika ditakdirkan rakyat memilih BN pada pilihan raya akan datang, maka gunalah hak itu untuk melantik JKKK sendiri.

Dari sudut pentadbiran awam, penyelarasan antara Kerajaan-kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan diperbuat dalam beberapa peringkat. Pada peringkat Kementerian ada Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan. Sebarang masalah berbangkit dapat diselesaikan melalui kerjasama tersebut.

Walaupun setiap Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangannya sendiri, ianya tidak mencukupi untuk perbelanjaan sesebuah negeri itu. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan memberi pemberian kepada negeri tanpa mengira sama ada ianya diperintah oleh parti lawan atau tidak. Ia bukan ihsan.

Perlembagaan Persekutuan juga memberi tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi kepada tiap-tiap Kerajaan Negeri pemberian bilangan orang atau 'capitation grant'. Kerajaan Persekutuan juga mesti memberi Kerajaan Negeri suatu pemberian untuk menyelenggara jalan raya dalam negeri.

Semuanya akan berjalan lancar jika aturan, peraturan, Perlembagaan dan konvensyen dipatuhi.

http://kudaranggi.blogspot.com/2011/01/isu-perlantikan-suk-perlu-ikut.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+KudaRanggi+%28Kuda+Ranggi%29

No comments

Powered by Blogger.