Isu SUK: MB adakan siri pertemuan, cari formula penyelesaian

Oleh G Manimaran dan Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini bagi menyelesaikan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

The Malaysian Insider difahamkan beliau mengadakan dua pertemuan penting termasuk bersama pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat antaranya dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali.

Pertemuan pagi berlangsung sekitar 10 pagi dan satu lagi pada sebelah petang.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Teng Chang Khim juga akan mengadakan sidang media berhubung perkembangan semasa tengah hari ini.

Kedua-dua pertemuan membabitkan Menteri Besar itu dijangka akan cuba mencari formula penyelesaian termasuk usaha meminda perlembagaan dan tindakan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak mengiktiraf pelantikan Khusrin.

Malah usaha kerajaan negeri meminda perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga.

Pertemuan ini diadakan sebelum Exco mengadakan mesyuarat mingguan mereka esok.

“Saya diminta hadir satu mesyuarat khas pemimpin-pemimpin kanan dengan Menteri Besar, saya difahamkan ini membabitkan pemimpin kanan PKR, saya belum sampai di bangunan SUK, dan oleh itu, tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lain akan hadir sama,” kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin kepada The Malaysian Insider.

“Setahu saya YB Azmin akan hadir sama,” katanya.

Azmin juga merupakan Pengerusi PKR Selangor.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata, satu pertemuan dengan semua wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor akan diadakan pukul 4 petang ini.

“Pertemuan petang ini membabitkan kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Selangor berhubung isu pelantikan SUK,” kata beliau.

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad juga mengesahkan pertemuan petang ini.

“Ia mengenai isu SUK, kita tunggu dulu hasil mesyuarat petang ini,” kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR ketika dihubungi.

Ahli Parlimen PKR Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid juga mengesahkan pertemuan petang ini yang menurutnya akan memberi peluang kepada wakil rakyat-wakil rakyat mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan semasa selepas Khalid menghadap Sultan Selangor semalam.

“Isu ini jelas di mana kami sudah pun memberikan pandangan agar perlembagaan negeri dipinda dalam soal pelantikan SUK, jadi kami akan mendapatkan penjelasan Menteri Besar mengenai perkembangan semasa,” kata beliau.

“Tindakan susulan ialah bagaimana usaha meminda perlembagaan boleh diterjemahkan,” kata beliau lagi.

Semalam, Khalid mengumumkan bahawa Selangor akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Khalid berkata dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi semalam, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Khalid mendakwa semasa mengumumkan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Pelantikan Khusrin, 54, berkuat kuasa 1 Januari lepas bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang tamat kontrak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Khusrin, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor akan mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Khamis ini.

Khalid berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah tuanku, kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya.

Menteri Besar itu berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Mohamad Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru) tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula memberitahu pertemuan petang ini membabitkan anggota Dewan Rakyat dan Adun Pakatan Rakyat.

“Saya rasa pertemuan ini berkaitan dengan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Menteri Besar baru berkata datang untuk taklimat hari ini,” kata Khalid.

“Kami kemungkinan akan membincangkan situasi semasa dan apa yang perlu dilakukan,” katanya lagi.

Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, majlis petang ini satu pertemuan tertutup.

“Ia perbincangan dalaman untuk memberi taklimat kepada ahli-ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat mengenai isu Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

No comments

Powered by Blogger.