Isu SUK: MB Selangor tindak luar bidang kuasa, kata penasihat Umno-BN

Oleh Debra Chong


KUALA LUMPUR, 3 Jan – Penasihat undang-undang Umno-BN Datuk Hafarizam Harun mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah melampaui batasan kuasanya ekoran tindakan beliau menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru daripada menjalankan tugas beliau.

Katanya, tindakan menghalang pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai kerajaan negeri akan mengganggu perjalanan perkhidmatan awam Selangor.

Beliau juga mendakwa langkah Menteri Besar itu mencetuskan satu situasi yang bahaya, yang boleh dicabar di mahkamah.

“Jika benar bahawa Menteri Besar akan menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri daripada menjadi sebahagian daripada Exco ataupun menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri, jawapan saya ialah beliau tiada kuasa untuk berbuat demikian sebab kuasa untuk sertai (sidang DUN dan Exco) adalah kuasa perlembagaan yang diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebaik beliau dilantik,” kata beliau.

Oleh itu kata Hafarizam, Menteri Besar mesti membenarkan beliau untuk menghadirinya.

“Menteri Besar tidak boleh mengendalikan perkhidmatan awam negeri. Secara perundangan, Menteri Besar tidak boleh campur tangan dalam proses pentadbiran negeri harian.

“Menteri Besar tidak boleh memberi arahan kepada perkhidmatan awam kecuali beliau (Menteri Besar) bertindak melalui Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu,” kata beliau.

“Ini kerana ketua perkhidmatan negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada sidang media petang tadi, Khalid berkata, kerajaan negeri Selangor bercadang mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Beliau berkata, pindaan itu bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Khalid berkata, dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon

bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan,” katanya.

Khalid menghadap Sultan Selangor di Istana Mestika di sini bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Khalid mendakwa semasa mengumumkan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Menteri Besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Kata Hafarizam, jika Khalid memberikan arahan secara langsung kepada jabatan-jabatan awam negeri dan agensinya, beliau akan bertindak melampaui kuasa yang ada pada beliau.

Sehubungan itu kata beliau, tindakan itu boleh dianggap sebagai “ulra vires” jika Khalid berbuat demikian.

“Bermakna ia boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Hafarizam berkata, perlembagaan negeri Selangor menunjukkan pelantikan Khusrin adalah sah dan Menteri Besar tiada asas untuk mencabar keputusan itu.

“Dari segi sejarah, Selangor merupakan negeri Melayu bersekutu. Perkhidmatan awamnya bukan (perkhidmatan) tertutup bermakna sesiapa sahaja dari persekutuan boleh dipinjamkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

“Jadi, pelantikan perlu melalui SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam),” kata beliau.

Hafarizam berkata, usaha meminda perlembagaan negeri memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Mereka kurang satu,” kata beliau sambil berkata, Pakatan Rakyat hanya mempunyai 35 anggota di Dewan Undangan Negeri.

“Adakah anda yakin BN akan bersetuju dengannya (usaha Pakatan Rakyat)?” kata beliau.

Hafarizam juga mempersoalkan motif Pakatan Rakyat untuk meluluskan usul bagi mengembalikan kuasa diraja yang dibataskan pada 1993.

1 comment

azim said...

TAHNIAH sELANGOR KEMBALIKAN HAK2 rAJA mELAYU. bARU DINAMAKAN MEMARTABATKAN KUASA RAJA MELAYU

Powered by Blogger.