Isu SUK: Umno-BN rancang rampas kuasa Selangor, kata Hadi

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan Umno-BN sedang berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan.

Merujuk kepada kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri sekarang, kata beliau, semuanya dilakukan dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi.

“Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Marang ini berkata “apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respons di seluruh negara dalam pilihan raya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.”

Kata beliau, PAS juga ingin mengingatkan kepada Umno-BN bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ia tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah.

“Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk Umno-BN,” katanya.

Hadi seterusnya berkata PAS menganggap krisis pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang sedang berlaku ini adalah akibat

sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

“Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Dalam pilihan raya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor.

“Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut,” kata beliau.

Kata Hadi, mereka sepatutnya mengambil kira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah kata beliau sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisme yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan Umno-BN.

“Kita semua menyedari bahawa Umno-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka.

“PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep federalisme ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.