KTM tubuh pasukan siasat punca kebakaran kepala keretapi Senandung Langkawi

KUALA LUMPUR , 2 Jan - KTM Bhd akan menubuhkan pasukan penyiasat dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kepala kereta api Senandung Langkawi terbakar berhampiran bulatan Segambut di sini, malam semalam.

Pengarah Urusan (Intercity Services SBU) KTM Sabini Tijan berkata pasukan penyiasat itu yang dianggotai kakitangan bahagian kejuruteraan KTM akan turut menyiasat punca sebenar kerosakan pada kereta api tersebut.

“Kita akan bermesyuarat esok untuk membincangkan mengenai penubuhan pasukan penyiasat ini, kemungkinan pasukan ini akan memulakan operasinya dalam tempoh dua minggu lagi.

“Pemilihan anggota berdasarkan kemahiran mereka dalam bidang kejuruteraan kerana mereka tahu selok-belok mengenai kereta api,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian itu, kira-kira 600 penumpang terkandas apabila kepala keretapi Senandung Langkawi yang dalam perjalanan ke Hadyai terbakar kira-kira pukul 9.35 malam.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kereta api yang turut dinaiki 30 warga asing itu.

Kesemua penumpang dapat meneruskan perjalanan mereka selepas kerja-kerja menukar kepala kereta api dijalankan.

No comments

Powered by Blogger.