Mayat Kedua Nelayan Hilang Ditemui

KUANTAN, 11 Jan (Bernama) -- Satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Tanjung Gelang dua minggu lepas dijumpai terapung oleh nelayan di 8 batu nautika dari Tanjung Gelang, di sini kira-kira 4 petang Isnin.

Mayat itu adalah yang kedua ditemui dari kalangan empat nelayan warga Thai dan seorang tekong warga tempatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata, "Nelayan berkenaan menjumpai mayat dalam keadaan reput dan ia dibawa ke Pangkalan Polis Marin Kuantan pada 9.30 malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Bagaimanapun identitinya masih belum dikenalpasti," katanya ketika dihubungi di sini Selasa.

Beliau berkata, DNA mangsa bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mengenalpasti identiti mangsa selepas laporan bedah siasat yang dilakukan pagi tadi di HTAA masih gagal mengenalpasti mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi 30 Dis lepas, empat nelayan serta tekong itu hilang selepas bot pukat tunda kelas C yang dinaiki mereka tenggelam di 15 batu nautika dari Tanjung Gelang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada 5 Jan lepas atas faktor cuaca.

No comments

Powered by Blogger.