Mayat lelaki dengan kesan luka di perut ditemui di Sungai Klang

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Mayat lelaki dengan kesan luka di perut ditemui di tebing Sungai Klang berhampiran Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau, Pantai Dalam di sini hari ini.

Mayat yang telah reput dan berulat itu ditemui oleh orang awam yang memancing berhampiran kawasan itu pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Difahamkan, polis turut menemui empat buku akaun bank dalam poket seluar mangsa, iaitu dua buku milik lelaki bernama Zulkifli Bulat dan dua lagi milik Azmi Bulat.

Sumber polis yang ditemui di tempat kejadian berkata, lelaki yang hanya berseluar itu dipercayai berbangsa Melayu dari Sabah dan berusia dalam lingkungan 20-an.

“Namun kita tidak dapat memastikan sama ada mayat itu adalah Zulkifli ataum Azmi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat yang reput dan berbau busuk itu, lelaki berkenaan dipercayai mati antara tiga hingga lima hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Azri Abdul Rahman ketika dihubungi pula berkata polis kini menunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu.

“Perut mangsa ada sedikit kesan kecederaan iaitu luka, bagaimanapun kami perlu menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui luka itu sama ada merupakan kesan tikaman atau bukan,” katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

-Bernama

No comments

Powered by Blogger.