Mustapa: BN sasar Kelantan bukan kerana kuasa

Mustapa mendakwa PAS sudah gagal mentadbiri Kelantan selama 20 tahun. — gambar fail
KOTA BARU, 16 Jan — Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas pentadbiran negeri itu daripada PAS bukan semata-mata kerana kuasa tetapi untuk membawa perubahan daripada segi pembangunan di negeri itu.

Beliau berkata banyak perkara yang hendak dilakukan BN untuk faedah rakyat, yang gagal dilakukan oleh PAS sepanjang mentadbir negeri itu selama 20 tahun.

Antaranya menyelesaikan masalah banjir kilat, sistem perparitan, kebajikan rakyat, peluang pekerjaan, infrastruktur untuk pembangunan ekonomi dan kemudahan lain, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Jabatan Pelajaran Kelantan, di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata hasrat BN untuk menawan semula Kelantan tidak harus dilihat sebagai suatu perebutan kuasa untuk memerintah tetapi suatu tindakan untuk memenuhi kehendak rakyat yang mahukan perubahan setelah sekian lama berada di bawah pentadbiran pembangkang.

“Kita mahu mengambil alih teraju pemerintahan negeri ini memandangkan rakyat mahukan perubahan melalui petunjuk-petunjuk yang dilahirkan menerusi sokongan mereka dalam pilihan raya kecil dan program-program anjuran BN dan Umno di negeri ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempersoalkan kenapa BN perlu mengambil alih Kelantan sedangkan PAS adalah parti yang layak memerintah negeri ini kerana melaksanakan pemerintahan Islam.

Sebelum ini, Mustapa berkata BN dijangka akan dapat merampas 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang memandangkan mood yang ditunjukkan oleh rakyat negeri itu lebih kepada BN berikutan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 4 November tahun lepas.

Mustapa juga berkata hakikatnya BN telah lama membawa pembangunan kepada negara mengikut ajaran Islam.

“Nik Aziz memang terkenal dengan sifatnya yang mengaku semua tahu tentang Islam dan tidak menghormati pemimpin parti politik lain, yang kurang hebat daripadanya dari segi agama,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.