Nik Aziz syor dialog libatkan semua agama bincang isu sosial

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan supaya diadakan dialog antara ketua-ketua agama di Malaysia bagi mendapatkan pandangan berhubung isu arak, judi dan zina menurut agama masing-masing.

Dalam tulisan laman Facebook, Menteri Besar Kelantan berkata, dialog itu akan memberikan gambaran jelas kepada agama lain tentang ajaran Islam.

“Saya mencadangkan mana-mana badan bebas untuk menganjurkan satu pertemuan di antara ketua agama-agama utama di Malaysia bagi mendapatkan satu pandangan yang jelas berkenaan arak, judi dan zina (pergaulan bebas) menurut agama masing-masing.

“Ini penting bagi memberikan satu gambaran kepada masyarakat bahawa bukan Islam sahaja yang mengharamkan ketiga-tiga perkara tersebut,” katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS dilihat mengeluarkan kenyataan itu dengan merujuk kepada kerajaan negeri Selangor yang memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan permis yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang melarang umat Islam bekerja di premis-premis yang menjual alkohol.

Sebahagian Exco Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan larangan seumpama itu.

Exco bagi pihak berkuasa tempatan Ronnie Liu mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya akan membatalkan larangan itu.

Pada 14 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor bercadang menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan menjual minuman keras.

Jelas Khalid, empat ahli exco negeri iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail — diminta menubuhkan sebuah sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan penubuhan tabung berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan atas sebab ekonomi.

Katanya, kerajaan negeri menghormati pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang melarang umat Islam bekerja di premis berkenaan.

“Pada masa sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat,” katanya.

Khalid dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan hari ini bagi mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen itu dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

No comments

Powered by Blogger.