Pantau penjualan produk kecantikan melalui kaedah MLM

MELAKA 11 Jan. — Persatuan Pelindung Pengguna Melaka meminta pihak berkuasa melakukan pemantauan lebih tegas terhadap penjualan produk kecantikan melalui ”pemasaran pelbagai aras” (MLM) kerana ada antaranya memudaratkan pengguna, seperti pemutih kulit yang menyebabkan kulit muka rosak.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, persatuan itu turut menerima aduan terdapat syarikat MLM yang menjual produk yang telah diharamkan walaupun mengetahui ia berbahaya.

Beliau berkata selain itu, pihaknya banyak menerima aduan mengenai produk perubatan tradisional, terutama membabitkan ubat perangsang seks yang menggunakan steroid sebagai bahan sehingga boleh memudaratkan pengguna.

"Steroid digunakan untuk menguatkan dan mempercepatkan rangsangan bahan itu, selain ubat perangsang seks, kita juga banyak menerima laporan steroid ini digunakan dalam ubat sakit sendi,” katanya kepada pemberita di pejabat persatuan itu di Ayer Keroh hari ini.

Dr. Saharuddin berkata, terdapat juga pengusaha yang meniru produk ubatan pengusaha tempatan dan dijual pada harga sama, namun tidak memiliki kesan serupa dengan produk asal, malah memudaratkan.

Beliau berkata, ada juga sesetengah pengusaha yang mahu mengaut keuntungan cepat bertindak mengambil produk ubatan syarikat lain dan membungkusnya semula sebelum dijual pada harga lebih tinggi.

Katanya, persatuan itu juga menerima banyak aduan mengenai beberapa pusat perubatan yang mengenakan bayaran sesuka hati, dan pesakit hanya dimaklumkan mengenai jumlah kos terbabit selepas menerima rawatan.

Dr. Saharuddin berkata pusat perubatan berkenaan sepatutnya memaklumkan kos yang terlibat sebelum pesakit dirawat sebagaimana diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Pengguna yang merasakan dirinya tertipu, boleh menghubungi persatuan kami di talian 1-700-800-444 atau 06-2324228, dan pihak persatuan ini boleh membantu mereka menuntut pampasan,” katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.