Peguam Teoh beng Hock Kecewa Dengan Skop Suruhanjaya Diraja

Oleh SALWA SHAARI

Oleh SALWA SHAARI PETALING JAYA: Peguam kepada keluarga Teoh Beng Hock meluahkan rasa kecewa dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja berhubung kes kematian pembantu politik kepada Exco Selangor tersebut.

Gobind Singh Deo berkata, kekecewaan tersebut ekoran skop suruhanjaya tersebut yang tidak akan melibatkan bagaimana Teoh, 30, menemui ajalnya.

Berdasarkan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat, suruhanjaya itu akan mengkaji kaedah soal-siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sekiranya berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh.

“Saya memohon supaya Suruhanjaya tersebut membesarkan skop lingkungan mereka yang melibatkan perkara yang mengelilingi kematian Teoh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Tambahnya, sukar untuk diketahui jika berlaku pencabulan hak asasi terhadap Teoh, jika fakta mengenai kematian tersebut tidak dikemukakan.

Beliau juga mengesahkan akan mewakili keluarga Teoh dalam Suruhanjaya Diraja tersebut.

Pada Jumaat, Najib mengumumkan Suruhanjaya Diraja akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas tauliah pelantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman itu dibuat selepas Mahkamah Koroner Shah Alam, dekat sini, pada Rabu lalu memberikan keputusan terbuka mengenai punca kematian Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abas dalam keputusannya tidak dapat menentukan sama ada kematian Teoh disebabkan oleh bunuh diri atau dibunuh.

Beliau bagaimanapun memutuskan Teoh mati antara pukul 7.15 dan 11.15 pagi, 16 Julai 2009 disebabkan oleh kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat tinggi.

Mayat Teoh ditemui di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam selepas dia dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM di pejabat yang terletak di tingkat 14 plaza sama.

No comments

Powered by Blogger.