Pelabuhan Klang: Speaker berhak isytihar kosong, Adun boleh cabar

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 20 Jan — Speaker Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang yang berkaitan dengan dewan tetapi mengambil kira perkembangan di Perak dan Kedah, masih awal untuk meramalkan status kerusi Pelabuhan Klang, kata pakar perundangan.

Bagaimanapun kata Prof A. Aziz Bari, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah, yang semalam diisytiharkan hilang kerusi itu, berhak untuk membawa pertikaian tersebut ke mahkamah jika merasakan keputusan Speaker Datuk Teng Chang Khim semalam sebagai tidak sah.

Justeru kata beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiadak wajar mentafsir status kerusi tersebut memandangkan secara tradisi menjadi hak dan tanggungjawab seorang speaker untuk menentukan kekosongan sementara sesebuah kerusi pilihan raya.

“Dari segi prinsip undang-undang memang speaker mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang berhubung dengan dewan yang beliau adalah ketuanya,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun dengan mengambil kira perkembangan di Perak dan Kedah, kata beliau, di mana keputusan speaker dibawa ke mahkamah dan diputuskan oleh SPR, “kita perlu menunggu apa yang akan berlaku seterusnya di Selangor.”

“Di Perak keputusan (Speaker) V. Sivakumar mengosongkan kerusi (tiga) Adun yang melompat, tetapi dipertikai oleh SPR dan kemudian disahkan oleh mahkamah.”

“Di Kedah pun begitu, keputusan speaker - yang hanya melaksanakan peruntukan perlembagaan sebagaimana di Selangor hari ini - masih tergantung,” kata beliau lagi.

Kata Aziz, buat masa sekarang pertikaian adalah antara speaker dan wakil rakyat berkenaan di mana jika Badrul Hisham tidak berpuas hati dia boleh membawanya ke mahkamah.

“Badrul boleh membawa perkara itu ke mahkamah sebab dia merupakan pihak yang terlibat dalam kes ini.. speaker sebagai ketua dewan dan pengerusi dewan bertanggungjawab untuk menentukan status seseorang wakil rakyat dan kerusi dewan," kata beliau.

Dalam komennya semalam, penasihat undang-undang Umno Datuk Hafarizam Harun menjelaskan Teng tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kerusi DUN kosong atau sebaliknya.

Berdasarkan kes mahkamah Adun Behrang dua yang lain di Perak, kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi itu terletak pada SPR.

Justeru beliau berpendapat tindakan Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi Pelabuhan Klang sebenarnya adalah cubaan untuk membawa kes Kota Seputeh, Kedah untuk diguna pakai dalam hal di Pelabuhan Klang.

Hafarizam menambah, Speaker DUN Selangor hanya bertanggungjawab untuk memaklumkan kekosongan secara bersurat.

Aziz berkata, kebingungan yang wujud jelas dalam kes Ahli Parlimen Batu dari PKR Tian Chua.

“Tidak sukar membaca yang mahkamah cuba mengelakkan pilihan raya kecil.

“Dan, itulah sebenarnya tema pokok dalam semua kes-kes itu meskipun isu dan fakta berbeza; yakni pilihan raya perlu dielakkan. Ini menyedihkan kerana ini bukan kerja mahkamah. Ia juga bukan kerja SPR. Kerja SPR ialah menjalankan pilihan raya bila berlaku kekosongan dan ini kerja speaker,” kata beliau lagi.

Kedua-dua kes Kota Seputeh dan Batu masih berada di peringkat rayuan.

No comments

Powered by Blogger.