Pelaburan: Respons Mukhriz tak masuk akal, kata Guan Eng

GEORGE TOWN, 24 Jan — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan sebagai “tidak masuk akal” kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bahawa 99 peratus pelaburan di negeri ini adalah atas usaha promosi kerajaan pusat.

Lim berkata adakah ini bermakna kalau Pulau Pinang tidak mendapat pelaburan, itu juga tanggungjawab kerajaan pusat.

“Kalau Mukhriz yang cakap begitu, beliau juga mesti bertanggungjawab kalau Pulau Pinang tidak berjaya (menarik pelaburan). Tak kan kalau berjaya beliau hendak dapat kredit dan kalau tidak berjaya itu salah orang lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid, di sini hari ini.

Katanya enam bulan pertama tahun lepas, kerajaan negeri dikritik hebat oleh pihak pembangkang negeri iaitu dari Barisan Nasional (BN) kerana hanya mampu mencapai RM1.5 bilion pelaburan.

“Masa itu, kita dikritik hebat dan mengapa BN tidak keluar untuk mengaku itu salah mereka. Sekarang bila Pulau Pinang dapat mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi tahun lepas, itu dia punya kredit dan itu dia punya kepandaian,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Mukhriz bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diteraju pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS tidak harus cepat “mengambil kredit” di atas usaha orang lain dalam mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelaburan.

Sebelum ini, Pulau Pinang berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 465 peratus pelaburan pada tahun 2010 berbanding dengan tahun 2009. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.