Pemuda Gerakan Kedah: Jadikan Thaipusam sebagai cuti umum di Kedah dan Kelantan

Saya merujuk kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP M.Kulasegaran yang menyeru agar Hari Thaipusam dijadikan cuti umum.

Sebelum pilihanraya umum pada tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan sedemikian malah mereka juga telah memberi janji-janji agar Hari Thaipusam dijadikan cuti umum, termasuk negeri Kedah.

Saya memang setuju bahawa Hari Thaipusam disambut bersama oleh rakyat Malaysia dan harus dijadikan cuti. Ketika saya berada di Sungai Petani semalam, saya telah melihat bagaimana Hari Thaipusam disambut oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Lebih meriah lagi, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah bersama lebih daripada 10,000 orang Kedah di Sungai Petani untuk menyambut Hari Thaipusam.

Malangnya, selepas Pakatan Rakyat memerintah Kedah selama hampir tiga tahun, Pakatan Rakyat telah enggan mengistiharkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kedah dan Kelantan.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional telah menjadikan Hari Thaipusam sebagai cuti umum di negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Sungguhpun Kedah dan Kelantan adalah dikuasai majoriti oleh PAS, ini bukanlah suatu alasan munasabah bagi Pakatan Rakyat untuk mengingkari janji mereka untuk menjadikan Hari Thaipusam sebagai cuti umum.

Pakatan Rakyat tidak boleh lagi mengeluarkan kenyataan yang hanya berberntuk retorik. Sebaliknya, mereka harus melaksanakan dasar-dasar mereka di negeri-negeri Pakatan Rakyat, yang dikuasai mereka.

Sekira DAP ikhlas dalam hal ini, saya berharap DAP akan memastikan agar Pakatan Rakyat akan menunaikan janji dan mengistiharkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum di semua negeri Pakatan Rakyat, termasuk Kedah dan Kelantan.

*Kenyataan media oleh Tan Keng Liang (gambar kiri) selaku Ketua Pemuda Gerakan Kedah.

No comments

Powered by Blogger.