Pengalaman bukan keutamaan, KSN bermotif politik pilih Khusrin

SHAH ALAM, 1 Jan – Tindakan Putrajaya menggunakan kuasa mutlak melantik Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menghantar mesej bahawa kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam menentukan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak professional dan bertindak atas motif politik apabila meminggirkan kerajaan negeri dan proses pemilihan yang ditetapkan demi melantik Khusrin sebagai SUK baru.

Khalid menegaskan bahawa Nota Amalan Perkhidmatan Awam jelas meletakkan tanggungjawab pemilihan SUK kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan pejabat Menteri Besar sebelum memohon restu Sultan Selangor.

“Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri akan memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Pusat untuk proses dokumentasi pelantikan,” ujar beliau.

Tan Sri Mohd Sidek mengabaikan segala proses itu dan sebaliknya membuat pengumuman mengejut bahawa Khusrin adalah SUK baru bermula 1 Januari sungguhpun penyandang jawatan itu Datuk Ramli Mahmud hanya dijadualkan bersara penghujung Mac 2011.

Pelantikan sebegini memberi gambaran negatif kepada pegawai-pegawai kerajaan mengenai isu ketelusan dan kemampuan serta pengalaman calon untuk dinaikkan pangkat.

“Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen,” ujar Khalid.

Khalid kesal kerana Putrajaya langsung tidak menimbang langkah kerajaan negeri membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim untuk menemuduga lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

“Jawatankuasa itu memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri Selangor,” katanya lagi.

Khalid berkata tindakan Sidek mengumumkan pelantikan Khusrin tanpa merujuk kepada kerajaan negeri, bukan saja membelakangkan pejabat Menteri Besar tetapi mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Khalid menegaskan bahawa tindakan Sidek meluluskan pelantikan Khusrin dengan cara begitu melanggar Perlembagaan, tidak bertanggungjawab serta tidak profesional malah boleh dianggap bermotifkan politik sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

No comments

Powered by Blogger.