Pengusaha Pasir Melayu Selangor Mahu Jaminan Bertulis Struktur Jambatan Batu 3 Selamat

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Konsortium Bertindak Pengusaha-Pengusaha Pasir Melayu Selangor Selasa meminta pihak yang terlibat dalam kegiatan mengorek pasir di susur keluar Batu Tiga, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) mengeluarkan jaminan bertulis aktiviti itu tidak menjejaskan struktur jejambat di situ.

Pengerusinya Datuk Tengku Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin berkata hanya dengan jaminan bertulis daripada jurutera bertauliah dapat meyakinkan pihaknya akan keselamatan mereka yang menggunakan laluan tersebut.

"Ini bukan isu publisiti murahan atau isu lapuk tetapi ia membabitkan keselamatan pengguna lebuh raya terbabit serta kesan kepada alam sekitar," katanya pada sidang media, di sini Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang memetik wakil syarikat kontraktor berkenaan bahawa seorang jurutera Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menyatakan aktiviti tersebut tidak menjejaskan struktur jejambat di situ.

Tengku Shaiffuliazan juga mengulangi dakwaannya aktiviti perlombongan itu dilakukan tanpa permit pihak berkuasa.

"Apa yang saya maklum kawasan itu hanya diberikan kebenaran untuk menggeluarkan kelodak berpasir dari 4 Ogos tahun lepas sehingga 3 Dis lepas dan bukannya untuk melombong pasir seperti apa yang berlaku ketika lawatan tapak diadakan bersama media 24 Dis lepas," katanya.

Katanya beliau juga difahamkan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Pejabat Tanah Daerah telah menggeluarkan surat henti kerja selain mengadakan lawatan tapak serta laporan polis terhadap kontraktor terbabit.

Namun, Tengku Shaiffuliazan berkata kontraktor itu masih meneruskan operasi sehingga hari ini dan tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pihak terbabit.

Beliau berkata pihaknya juga sedia disaman oleh kontraktor berkenaan kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

No comments

Powered by Blogger.