Perbezaan pendapat jadi punca

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

TEKA-TEKI mengenai punca peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek akhirnya terjawab.Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perbezaan pendapat yang timbul di antara Misbun dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai sistem kejurulatihan meru- pakan punca utama juru- latih tersebut berbuat demikian.

"Berdasarkan apa yang diluahkan Misbun kepada saya, itu adalah punca utama mengapa beliau meletak jawatannya selaku jurulatih dan bukannya bersifat peribadi," kata Shabery.

Rumusan itu dibuat Shabery selepas mengadakan pertemuan dengan Misbun, Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong kelmarin.

"Datuk Nadzmi turut memberi- kan pandangannya berhubung isu ini dan beliau akan membawa luahan hati yang disuarakan Misbun itu dalam mesyuarat Exco BAM yang bakal diadakan esok.

"Ketika itu nanti, terpulanglah kepada barisan Exco BAM untuk menentukan keputusan terhadap isu ini.

"Apa yang saya harapkan, mereka (Exco BAM) dapat membuat satu keputusan yang tepat atau win-win situation dalam hal membabitkan isu peletakan jawatan Misbun ini.

"Kita perlu ingat, Misbun telah memberikan sumbangan serta memainkan peranan yang cukup besar terhadap kejayaan serta pembangunan sukan badminton negara sebelum ini," jelas Shabery.

Mengenai khabar angin yang mengatakan punca peletakan jawatan Misbun itu adalah disebabkan beliau dan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei ada agenda yang tersendiri, Shabery berkata:

"Tidak timbul langsung isu berkenaan hal tersebut.

"Misbun sendiri menafikan dakwaan tersebut apabila ada yang mengatakan mereka mahu menubuhkan sebuah badan atau kem profesional selepas keluar dari BAM," katanya.

Sebelum ini, Chong Wei yang juga merupakan pemain perseorangan lelaki No. 1 dunia ada menyatakan hasrat untuk meninggal- kan BAM bagi menyertai Misbun selepas jurulatih tersebut membuat keputusan meletakkan jawatan.

No comments

Powered by Blogger.