Pertemuan 24 Dis: PAS ulangi komitmen bersama Pakatan

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 13 Jan — PAS mengulangi jaminan kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat bahawa ia tiada rancangan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno di sebalik spekulasi ekoran pertemuan 24 Disember lalu di Istana Terengganu di sini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pemberita petang ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memberi penjelasan mengenai pertemuan itu pada mesyuarat majlis kepimpinan di ibu pejabat PAS hari ini.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan. Sebagaimana dikatakan oleh (Mursyidul Am PAS Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), PAS komited untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Tidak perlu untuk kita membangkitkan isu ini lagi atau meragui mereka,” kata beliau.

Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) juga bersetuju dengan pandangan ketua pembangkang itu sambil berkata, perkara itu harus ditutup dan tidak dibangkitkan lagi.

Kata Lim, beliau juga berpuas hati dengan penjelasan Hadi.

“Kami ada menerima penjelasan daripada presiden PAS berhubung pertemuan pada malam menjelang Krismas bersama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan kami berpuas hati dengan pendirian PAS yang komited kepada Pakatan dan mereka akan terus bersama perjuangan kami untuk mencapai agenda yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, partinya sedang menyiasat satu laporan berita memetik Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Mahfuz Mohamad berkata pada satu ceramah di Tenang Isnin lalu bahawa PAS merancang untuk menubuhkan negara Islam jika mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Saya sedang siasat mengenai apa yang sebenarnya dikatakan. Kalaupun beliau mengatakan yang itu, beliau tidak membuat keputusan bagi pihak PAS,” katanya.

Lim juga berkata majlis kepimpinan Pakatan juga menyentuh isu negara Islam pada mesyuarat hari ini tetapi diberi jaminan semula bahawa ia akan berpegang pada dasar-dasar yang telah dipersetujui semua parti.

No comments

Powered by Blogger.