Petemuan Muhibah Interlok Berjaya



Pemuda PAS Pusat telah berjaya mempertemukan kumpulan budayawan dengan NGO masyarakat India di PKNS Bangi pada khamis 13hb Januari 2011 mulai jam 2.30 petang sehingga 5.00 petang. Pertemuan bersejarah ini merupakan kali pertamakan di adakan bagi membincangkan isu Novel Interlok yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Kumpulan Budayawan adalah terdiri daripada Senimana Paksi Rakyat Malaysia(PAKSI), Budayawan Bertindak (BB), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka, pensyarah universiti dan individu. Sementara kumpulan NGO masyarakat India adalah terdiri daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP), Makkal Sakti, Malaysian Indian Voice(MIC) , Indian Movement, peguam dan individu. Perbincangan dalam pertemuan ini berjalan dengan lancar . Setiap wakil mengemukakan pandangan dengan penuh kematangan. Mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun membincangkan isu yang sensitif.

Keputusan bersama yang telah di perolehi adalah :

* · 1. Menghormati karya seni Interlok tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussin yang mengandungi unsur-unsur sejarah dan imiginasi.
* · 2. Kuatir dengan perangkap politik disebalik polemik Interlok. Semua pihak harus berhati-hati.
* · 3. Membantah pembakaran Novel Interlok dan bersetuju menggunakan keadah dialog untuk menyelesaikan polemik.
* · 4. Mengadakan Pertemuan Muhibah Kali Ke-2 pada hari Rabu 19hb Januari 2011 jam 2.30 petang bagi membincangkan wajar atau tidak wajar Novel Interlok menjadi buku teks tingkatan lima sekolah menengah.

Dalam Pertemuan Muhibah Kali Ke-2 setiap kumpulan perlu menyediakan asas yang kukuh kewajaran dan ketidakwajaran Novel Interlok menjadi buku teks sekolah. Perkara ini perlu diteliti dengan penuh hikmah kerana ia melibatkan maruah kedua-dua pihak. Bagi sebahagian masyarakat India perkataan “paria” pada muka surat 211 dan isu kasta muka surat 219 boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dikalangan para pelajar sekolah, memberi pandangan negatif terhadap masyarakat india dan menjatuhkan maruah mereka. Sedangkan di pihak kumpulan budayawan pula berpendapat bahawa menarik balik Novel Interlok daripada menjadi buku teks sekolah merupakan penghinaan terhadap sasterawan negara Abdullah Hussain, menghina karya seni dan menjatuhkan maruah budayawan. Bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik kepada masalah ini maka kedua-dua kumpulan dikehendakki membentangkan kertas kerja masing-masing.

Antara perkara-perkara yang telah dibincangkan semalam dan akan dibawa dalam Pertemuan Muhibah kali ke-2 adalah seperti di bawah.

Cadangan kumpulan budayawan adalah mengekalkan Novel Interlok sebagai buku teks sekolah dengan membuat penyesuaian berikut :

* · 1. Membuat penerangan perkataan-perkataan yang sensitif Novel Interlok dalam ruang glosari
* · 2. Menyediakan buku ulasan terhadap novel bagi mengelakkan sebarang kekeliruan
* · 3. Melatih guru-guru untuk memberi penerangan yang sebenar terhadap novel Interlok.

Cadangan kumpulan NGO masyarakat India pula adalah :

* · 1. Gugurkan perkataan dan kandungan sensitif dalam novel tersebut atau
* · 2. Gugurkan Novel Interlok daripada menjadi buku teks sekolah

Kesemua cadangan di atas akan dibincangkan secara terperinci dalam Pertemuan Muhibah kali ke-2 minggu depan. Di harap semua kumpulan dapat membuat keputusan yang tepat bagi menjamin keharmonian antara kaum dalam negara tercinta ini.

Suhaizan Bin Kaiat

Moderator Pertemuan Muhibah Budayawan & NGO Masyarakat India

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

No comments

Powered by Blogger.