Piala Suzuki: Kelantan hadiahkan penjaga gol Khairul rumah

KOTA BARU, 3 Jan – Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.

Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku di sini, hari ini.

“Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

“Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Exco bertanggungjawab,” kata Nik Aziz.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

“Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan merupakan satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

“Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah.

“Nabi Muhammad SAW dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa,” katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.