Polis ambil peralatan komputer dari pejabat ADUN Sri Muda

SHAH ALAM, 15 Jan — Polis mengesahkan telah mengambil beberapa peralatan komputer dari Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di Kota Kemuning di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya mengambil peralatan itu bagi tujuan siasatan berhubung tuduhan Shuhaimi menghina Sultan Selangor menerusi laman blognya baru-baru ini.

“Ya, kita ada pergi ke pusat khidmat ADUN itu, tengah hari semalam. Tujuan kita ambil peralatan komputer untuk dianalisa bagi membantu siasatan kes. Kita yakin kes ini akan selesai dengan cepat dan bagilah sedikit masa kepada kami,” katanya.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam blognya 30 Dis lepas yang didakwa mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.