Rosmah Merangkap Menteri Luar, Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan, Menteri Agama..Bla Bla..Habis Duit Rakyat!

Rosmah Gembira Dengan Hasil Lawatan Ke Oman

Daripada Muin Abdul Majid

MUSCAT, 19 Jan (Bernama) -- Menyifatkan lawatan beliau ke Oman sebagai berjaya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata negara-negara membangun patut saling memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam membawa kemajuan kepada bidang seperti pemerkasaan wanita dan pendidikan kanak-kanak.

"Kita tidak perlu belajar daripada Barat pada setiap masa. Kita boleh belajar daripada satu sama lain, contohnya antara negara di sebelah sini dan di sebelah kita. Ini yang dikatakan semangat setiakawan," kata Rosmah, isteri Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lawatan empat hari beliau ke Oman berakhir pada Rabu, di mana beliau telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Fahad Bin Mahmood Al-Said dan Menteri Pembangunan Sosial Dr Sharifa Bint Khalfan Al Yahya'eyah.

Bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas untuk lawatan ke Bangladesh, Rosmah bersetuju dengan pandangan Sayyid Fahad bahawa lawatannya ke Omar akan membuka laluan kepada lebih banyak lawatan di semua peringkat serta menggalakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau juga berharap ia akan membuka ruang bagi kerjasama antara Oman dan Malaysia dalam bidang seperti pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak serta pembangunan usahawan wanita.

"Saya diberitahu yang wanita Omar suka berniaga. Saya rasa adalah baik jika kita dapat mewujudkan jalinan antara ahli perniagaan wanita Malaysia dan Oman," katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, katanya sama seperti di Malaysia, Oman juga menggalakkan penyertaan wanita dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara itu.

Menurut Rosmah, beliau dan anggota delegasinya telah mendapat pelbagai idea baru daripada lawatan itu yang menyaksikan beliau diberi layanan sebagai tetamu kerajaan Oman, orang kenamaan pertama dari Malaysia diberikan status itu dalam tempoh 20 tahun.

Difahamkan lawatan itu awalnya adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Sosial Oman sebelum atur cara lawatan itu diambil alih pihak istana.

Rosmah berkata berasa terkejut dan pada masa yang sama gembira bahawa Pemerintah Oman, Sultan Qaboos Bin Said, telah mengambil perhatian terhadap lawatannya ke negara itu.

"Saya ingin menyampaikan rasa terima kasih daripada hati sanubari saya kepada baginda dan kerajaan Oman atas layanan mesra yang diberikan kepada kami sepanjang lawatan," katanya.

Rosmah berkata beliau menyifatkannya sebagai satu penghormatan bukan sahaja kepada dirinya dan delegasi beliau tetapi juga bagi semua rakyat Malaysia.

Pada lawatan itu, isteri perdana menteri diiringi oleh beberapa anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Mereka turut berpeluang bersiar dengan menaiki kapal mewah milik Sultan Qaboos.

"Saya dimaklumkan tiada siapa (di luar kerabat diraja Oman) pernah dibenarkan menaiki kapal diraja itu. Kami merupakan yang pertama diberikan keistimewaan ini. Kami berasa amat berbesar hati," kata Rosmah.

Beliau berpendapat layanan mesra yang mereka terima di Oman bukan atas faktor dirinya dan delegasi beliau semata-mata.

Ia mencerminkan hubungan akrab antara Oman dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama, katanya.

Menurut Rosmah, Sayyid Fahad turut berkirim salam kepada Najib dan menteri-menteri lain di Malaysia.

"Timbalan Perdana Menteri berkata beliau mahu melihat lebih ramai pemimpin Malaysia melawat Oman dan menjalin kerjasama dengan rakyat Oman apabila perlu," katanya.

Pada lawatan ke negara Teluk ini, Rosmah turut menghadiri majlis perjumpaan dengan rakyat Malaysia dan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Wanita Oman.

Beliau juga melawat mercu tanda di ibu negara ini, Masjid Sultan Qaboos dan pusat jagaan kanak-kanak yang diuruskan Kementerian Pembangunan Sosial Oman.

No comments

Powered by Blogger.