The Star didakwa cuba bakar sentimen bukan Melayu – N.Surendran

SHAH ALAM 16 Jan – Beberapa hari selepas seorang ahli MCA mempertikaikan laungan azan di sebuah masjid di Kuala Lumpur yang mencetuskan tunjuk perasaan umat Islam, akhbar milik parti itu, The Star memperlekehkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Dalam lidah pengarangnya, akhbar itu mendakwa undang-undang itu jika dilaksanakan adalah langkah ke belakang dan terlampau bodoh untuk digambarkan.

Dalam cubaan terdesak untuk membakar sentimen bukan Melayu, akhbar itu menuduh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kononnya mahu menubuhkan sebuah pemerintahan Islam di negeri itu.

Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), N. Surendran menyifatkan laporan Star itu sebagai melampau dan cubaan terdesak untuk meraih sokongan bagi MCA.

The Star mendakwa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah membuka ruang kepada penubuhan Negara Islam di Selangor, dan bakal menghasilkan gelombang pengislaman dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Akhbar itu turut menyifatkan larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak seperti yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah sebagai tidak masuk akal dan harus di tolak oleh semua pihak.

Dalam cubaan untuk memutarbeitkan undang-undang syariah itu, Star mendakwa larangan itu juga harus meliputi pasar raya, kedai kosmetik, makmal dan hospital.

Bahkan menurut The Star, pemandu lori dan van yang mengangkut arak, pramugari dan pegawai kastam juga bakal menerima kesannya.

The Star mengulas tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang melarang penganut beragama Islam bekerja di premis-premis yang menjual penjualan arak, baru-baru ini.

“Untuk Star mengatakan semata-mata isu kecil ini mengatakan Pakatan Rakyat (Pakatan) tidak matang dan tidak boleh memerintah adalah pendirian yang ekstrem oleh The Star. Kita tak terkejut lah, kerana The Star ini dilihat berpihak kepada parti BN,” katanya.

Langkah MPSJ itu ditarik balik buat sementara setelah kerajaan negeri memutuskan sebuah dana untuk membantu pekerja Islam yang terbabit akan ditubuhkan terlebih dahulu.

Esok Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk memastikan sebarang pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah dilaksanakan secara teratur dan tidak menjejaskan mana-mana pihak selain menegakkan syiar Islam di kalangan umatnya.

Surendren tidak menolak akhbar The Star memutarbelitkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor untuk menarik sokongan masyarakat bukan Islam kepada Barisan Nasional khususnya dalam menghadapi pilihanraya kecil Tenang akhir bulan ini.

“Saya rasa isu ini isu kecil yang dibesarkan. Ada kemungkinan ia untuk memancing undilah,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.