Wawancara Nazri bersama Sin Chew: Tentang PERKASA jika sokong 1Malaysia

Lim Hong Siang


PERKASA harus ditentang sekeras-kerasnya jikalau menyokong konsep "1Malaysia", kata Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz. Bagaimanapun, Nazri mengakui bahawa tiada menteri yang berani untuk bersuara dalam hal ini, "Ya, mereka sokong (1Malaysia), tapi sama ada disusuli dengan tindakan, saya tidak tahulah."

Nazri mengakui bahawa dirinya mungkin "suara minoriti" dalam kabinet, ketika ditanya sedemikian dalam satu wawancara bersama Sin Chew Daily. Beliau tetap menganggap bahawa PERKASA adalah pertubuhan yang menentang konsep 1Malaysia, lantas beliau tidak faham mengapa masih terdapat menteri yang menyokong pertubuhan ini.

Wawancara bersama Nazri Aziz ini disiarkan dalam Sin Chew Daily pada 2 Januari 2011. Antara isu yang diulas termasuklah isu buku teks sejarah, penyanyi tempatan yang mencungkil kontroversi - Namewee, politik UMNO, kuota bumiputera dan sebagainya.

Najib beri isyarat jangan serang Mahathir

Nazri bergurau bahawa "ada virus dalam otak", yang membuatkan dirinya menyokong penuh konsep 1Malaysia, sehingga melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza dengan kebanyakan orang. Beliau menekankan bahawa Perdana Menteri tidak pernah menyerah "misi khas" kepadanya, dan segala-gala yang dilakukan beliau didorong hati nalurinya.

Dalam wawancara tersebut, Nazri mendedahkan bahawa Najib pernah memanggilnya melalui telefon, berkata orang lain akan melihat serangan Nazri terhadap bekas PM Mahathir itu dilakukan atas arahan PM. Walaupun Najib tidak mengarahkan Nazri untuk menghentikan serangan tersebut, tetapi Nazri dapat merasakan isyarat jelas yang ingin disampaikan Najib, iaitu hentikan serangan terhadap Mahathir.

Nazri menambah, mereka yang memahami beliau akan tahu bahawa beliau berselisih dengan Mahathir sejak awal lagi, jadi beliau bukan menyerang Mahathir kerana menerima apa-apa arahan, menurut laporan.

Malah, Nazri menuduh bahawa politiking dalam UMNO menjadi penghalang kepada perubahan yang dibawa Najib. Nazri adalah menteri kabinet pertama yang mendahulukan identiti warga Malaysia-nya sebelum kaum Melayu-nya. Nazri yang sudah menyandang jawatan Menteri untuk 11 tahun tidak khuatir dengan pandangan orang lain, kerana beliau menganggap jawatan awam yang diamanahkan kepadanya adalah untuk memberi peluang dirinya berkhidmat kepada rakyat.

Beliau mendedahkan bahawa pertemuan dirinya dengan Namewee baru-baru ini mengundang tekanan dari UMNO, yang mendesak Najib untuk memecatnya.

Namewee budak baik

Ketika membangkitkan isu Namewee, Nazri mengakui bahawa dirinya juga pernah melalui zaman remaja yang "memberontak". Apa yang membezakan antara zamannya dengan zaman sekarang adalah kemunculan internet, dan cara penyampaian dan penyebaran maklumat melalui internet. Dengan nada berjenaka, Nazri berkata dirinya lebih degil daripada Namewee ketika zaman remaja.

Malah beliau mengambil kesempatan untuk menyindir Utusan Malaysia, "Ada orang nampak gambar saya bersama Namewee dalam Utusan Malaysia, tetapi tiada yang baling batu pada saya. Saya bebas bergerak di jalan raya, ini menunjukkan kebanyakan orang tidak kisah. Berapa orang yang membaca Utusan Malaysia? 230 ribu?"

"Klip video Namewee mencatat lebih 6 juta klik dalam masa tiga hari. Siapa yang majoriti sebenarnya? Ini penilaian saintifik. Tak ada orang yang tikam saya dengan pisau semasa saya bergerak di jalan raya. Rakyat tidak kisah, mereka mahu teruskan kehidupan mereka," kata Nazri Aziz.

Nazri dilaporkan bersikap toleransi terhadap Namewee, kerana dirinya melalui zaman remaja yang amat memberontak. Beliau mempersoalkan, lelaki mana yang tidak pernah keluarkan kata-kata kesat semasa zaman remaja?

Politikus berikan tongkat kepada Melayu yang sudah berdikari

Dalam wawancara tersebut, Nazri berkata, pada hakikatnya, orang Melayu sudah berdikari. Malah mereka yang sudah berkeyakinan berharap agar tidak bergantung kepada dasar afirmatif kerajaan, untuk menunjukkan kemampuan diri yang sebenar.

"Apa yang menyesalkan, ramai pemimpin sering memperingatkan Melayu bahawa mereka masih memerlukan bantuan daripada kerajaan," katanya. Berbicara tentang perubahan, Nazri berkata PAS yang pada asalnya sangat konservatif kini telah menunjukkan keterbukaan. Justeru itu, beliau berharap agar UMNO tidak kembali kepada landasan yang lama.

Bercakap tentang politik perkauman, Nazri menganggap bukan sesuatu yang salah apabila kaum Cina yang juga warga Malaysia menuntut keadilan. Malah Nazri berpendapat bahawa semangat patriotik bukan bumiputera tidak wajar dipertikaikan. "Ramai Melayu, termasuk diri saya, tidak menghantar anak saya untuk menyertai pasukan tentera. Apakah ini bermaksud Melayu, termasuk saya tidak cintakan negara ini?"

Dalam laporan wawancara tersebut, Nazri turut mengiktiraf sumbangan Kapitan Yap Ah Loy sebagai peneroka kota Kuala Lumpur, malah menganggap fakta ini tidak seharusnya ditutup atau disembunyikan dari buku teks sejarah. Dalam isu kuota pula, secara terus-terang Nazri menyatakan sokongannya dengan mencadangkan nisbahnya pada bumiputera 51% berbanding bukan bumiputera 49%.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar yang dirujuk adalah Sin Chew Daily pada 2 Januari 2011, wawancara akhbar tersebut dengan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Aziz. Laporan dibuat berdasarkan teks asalnya dalam bahasa Cina.

No comments

Powered by Blogger.