William, Kate diramal bercerai

LONDON: Dua kegemaran masa lapang rakyat Britain, memantau perkembangan keluarga diraja dan bertaruh, kini berubah menjadi ‘perniagaan besar’ dengan tumpuan diberikan kepada perkahwinan diraja.

Putera William dan tunangnya, Kate Middleton menunggu untuk berkahwin tiga bulan lagi tetapi sebilangan rakyat negara itu sudah bertaruh bahawa mereka akan bercerai.
Topik yang dibincangkan bukanlah sesuatu yang sopan dan kedengaran aneh, tetapi apabila dua orang saling tidak sependapat, mereka akan menggunakan wang sebagai pertaruhan.

“Rakyat Britain amat gemar bertaruh mengenai apa yang akan dilakukan kerabat diraja. Ia bagaikan satu tradisi dan mereka mempunyai ‘minat melampau’ terhadap keluarga diraja,” kata jurucakap syarikat bookie, Paddy Power Darren Haines.

Beliau berkata satu daripada pertaruhan paling popular sejak beberapa tahun lalu ialah bila dan di mana Kate dan William akan berkahwin.

Jurucakap syarikat bookie Ladbrokes, Alex Donohue berkata, tarikh pertunangan yang diumumkan November lalu menarik wang pertaruhan £30,000 (RM146,338) manakala tempat upacara perkahwinan diadakan menghasilkan pertaruhan £15,000 (RM73,140).

“Apabila semua soalan terjawab, syarikat bookie akan berusaha mencari perkara baru membabitkan perkahwinan diraja yang boleh dipertaruhkan,” katanya.
Kate akan tiba pada hari perkahwinannya dengan menaiki kereta dan meninggalkan majlis dengan kereta kuda. Beliau tidak perlu bimbang dengan rusuhan di stesen kereta api.

“Persoalan sama ada beliau akan tiba di Westminster Abbey tepat pada masa atau tiga minit lewat atau membiarkan tetamu menunggu hingga 11 minit untuk melihatnya? Berapa panjang dan labuh gaun pengantinnya? Semua ini boleh dijadikan modal untuk pertaruhan,” katanya.

Kebanyakan bookie mengemukakan beberapa soalan mengenai perceraian, dengan kebanyakan kaki judi hampir pasti perkahwinan pasangan itu akan bertahan sekurang-kurangnya 10 tahun.

Bagaimanapun Donohue berkata pihaknya tidak bertaruh membabitkan perkara yang boleh menimbulkan kecurigaan umum, seperti sama ada pengganas akan membuat kekacauan.

“Kami melakukan semua ini hanya untuk bergembira,” katanya. – Agensi

No comments

Powered by Blogger.