BN tindas, rakyat Malaysia boleh bangkit

Nazri Abdullah

ALOR SETAR, 20 Feb: PAS mengingatkan Umno agar mengambil iktibar dengan kejatuhan pemerintah Tunisia dan Mesir akibat kebangkitan rakyat yang ditindas pemerintah.

Dengan nada memberi amaran, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Malaysia juga boleh bangkit sedemikian jika pemimpin Umno BN terus menindas rakyat.

"Rakyat ni macam spring, bukan mati hidup, tapi ada perasaan.

"Kalau orang tekan spring ni, bila lama dia pedih tangan dia lepas, spring naik kemuka dia. Ha ingat-ingat..," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di hadapan lebih 30 ribu rakyat di perkarangan Kompleks PAS, Kota Sarang Semut di sini malam tadi.

Turut serta berceramah pada malam kemuncak Himpunan 30K Dewan Pemuda PAS itu adalah Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.

Sehubungan itu tambahnya, sebelum Umno BN dimalukan dengan kejatuhan sebegitu, mereka perlu memberikan padang sama rata kepada parti-parti politik lain dalam pilihan raya, agar kejatuhan mereka lebih bermaruah.

"Kita mintak pemimpin Umno ni jaga maruah, jangan tipu pilihan raya.

"Jangan guna media untuk sebelah pihak sahaja," katanya lagi.

PAS ganti Umno

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendirian bahawa PAS perlu menggantikan Umno.

Katanya, Umno telah terbukti tidak mampu membawa keadilan Islam untuk rakyat semua kaum dengan sistem penjajah yang diwarisi mereka, apatah lagi sistem sekular itu sendiri merosakkan Islam.

Sebagai bukti katanya, umat Islam negara ini masih lemah walaupun dipimpin orang Islam sendiri dari Umno BN sejak negara merdeka.

"Kenapa lemah? Kerana kepimpinan Malaysia ini mewarisi pemikiran penjajah barat, pemimpin negara tidak berperangai Islam, tak boleh tolong orang Islam, tak boleh tunjuk contoh baik kepada orang bukan Islam.

"Maaflah orang bukan Islam, pemimpin negara ini nama sahaja Islam tapi amalan pemerintahan dia, rasuah boleh, tipu rakyat boleh," katanya lagi.

Keadaan itu berlaku katanya kerana Islam dikurung di pejabat agama sahaja.

Skop Islam juga disempitkan hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat sahaja.

Selain turut menghakis Bahasa Melayu, Umno BN juga didakwa gagal mengurus ekonomi negara sehingga berlaku kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat.

Kekayaan negara katanya, hanya berpusing di kalangan pemimpin atasan mereka sahaja dan tauke-tauke yang berkepentingan.

"Orang Melayu kena sedar, bila pilihan raya, tauke-tauke besar bagi duit kepada Umno.

"Bila habis pilihan raya, harga barang dinaikan sebab nak tolong tauke dia yang tolong dalam pilihan raya," tambahnya.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat khususnya ahli PAS bekerja kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat menggantikan Umno pada Pilihan Raya Umum nanti.

"Pertahankan Kedah ini, kalau Kedah kamu tak perkuat, nak pergi Pptrajaya macam mana.

"Jangan cakap sahaja nak putrajaya, kerja malas, daftar pengundi tak buat, ceramah datang berbatu-batu, tapi nama bila nak mengundi tak ade," tegasnya.

No comments

Powered by Blogger.