Enggan tubuh polis bantuan, Hishamuddin bermain politik

Fazallah Pit

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mempolitikkan usaha kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan keselamatan rakyat di Selangor.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Faekah Hussin berkata, kenyataan Hishammuddin bahawa kadar jenayah di Selangor kian menurun tidak boleh menjadi alasan untuk menolak tawaran menyediakan pasukan polis bantuan.

Walaupun kadar itu menurun, beliau berkata, perangkaan jenayah di Selangor masih tinggi dan pada tahap bahaya.

“Nisbah anggota polis dan rakyat yang disyor Interpol ialah satu anggota polis untuk 250 penduduk. Mengikut statistik 2011, Selangor ada 11,700 anggota yang hanya 30% bertugas pada satu syif.

“Ini bermakna nisbah dalam satu syif ialah 1:1,424,” katanya kepada kenyataan media hari ini.

Faekah berkata, polis jelas tidak mampu menampung keperluan rakyat dan kerajaan negeri mendesak pihak berkuasa mengambil pendekatan untuk menangani gelombang jenayah yang semakin mengancam rakyat.

“Kami tiada ragu-ragu kadar jenayah belum berada di tahap rendah dan jaminan keselamatan untuk rakyat perlu dipertingkat. Rakyat tidak puas dengan tahap keselamatan dan bergantung kepada syarikat swasta untuk menjaga keselamatan mereka,” katanya.

Faekah berkata, kerajaan Selangor tiada sebarang unsur politik dalam cadangan untuk bekerjasama dengan polis dan kerajaan Persekuruan dalam mempertahankan keselamatan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri juga bukan mencari pengiktirafan atau berhasrat mengambil alih peranan polis, sebaliknya mahu kerajaan Persekutuan mengambil sikap lebih terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan perkiraan politik.

No comments

Powered by Blogger.