Fitnah II: Dr Siew dakwa borang pro-forma khas untuk mangsa rogol

Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Fitnah II membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan berhubung borang perubatan pro-forma dan hari ini Dr Siew Sheue Feng, ahli patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang disoal balas pihak pembelaan sekali lagi berdolak-dalik mengenainya.

Dalam perbicaraan yang bermula seawal jam 9.41 pagi tadi itu, Dr Siew mendakwa tidak ada borang pro-forma spesifik untuk kes liwat di HKL, katanya kepada Peguam Sankara Nair.

Sebaliknya, doktor HKL itu berkata, beliau mengisi halaman 3, 5 dan 6 dokumen itu dan borang itu adalah untuk mangsa yang dirogol.

Dr Siew juga berkata, dia tidak mengisi halaman 4 borang itu kerana ia membabitkan mangsa yang dirogol dan memerlukan persetujuan mangsa.
Dr Siew mengulangi, “Tidak ada borang pro-forma yang spesifik untuk kes liwat. Hanya sekarang baru ada.”

Menurut Dr Siew, borang yang digunakan mempunyai gambarajah termasuk kemaluan dan bahagian lain tubuh wanita. Justeru, katanya ia tidak sesuai untuk kes liwat.
Tambah beliau, seorang lagi doktor telah membantunya mengisi borang pro-forma itu.
“Juga pegawai penyiasat Jude Pereira mengisikan satu halaman (borang tersebut ),” kata Siew.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa seorang doktor bernama Dr Suresh turut memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu kes tersebut.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang kembali beraksi selepas mengalami keretakan tulang di kakinya semasa mengejar kucing peliharaannya sebelum ini bagaimanapun membantah soalan Sankara yang didakwa beliau mengemukakan soalan yang tidak diketahui saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mengenepikan bantahan Mohd Yusof itu dan membenarkan pembelaan untuk meneruskan soal balas.
Dalam perbicaraan yang lalu, Dr Siew hanya mengemukakan borang pro-forma yang kosong untuk rujukan pihak pembelaan.

Beliau juga enggan merujuk kepada nota-nota perubatannya ketika disoal-balas oleh pihak pembelaan tetapi cuba berdolak-dalik mengenainya.
Akibatnya, Hakim Mohd Zabidin terpaksa mengarahkannya menyerahkan nota itu kepada pihak pembelaan.

Tetapi sehingga hari ini, Dr Siew masih enggan mengemukakannya malah menambah dakwaan dan fakta yang bertentangan seperti sebelum ini.
Borang pro-forma adalah soalan lazim yang digunakan semasa pemeriksaan penderaan seksual.

No comments

Powered by Blogger.