FLOM: Najib perlu jawab kekeliruan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diseru untuk menerangkan kekeliruan kenyataannya mengenai Jabatan Wanita Pertama Negara (FLOM) di Pejabat Perdana Menteri yang ditubuhkan khas buat isteri kesayangan beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Merujuk kepada jawapan Najib di Parlimen pada November 2010, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Perdana Menteri telah menyatakan bahawa tiada staf tetap mahupun staf kontrak yang didedikasikan kepada isterinya, Rosmah.

Namun begitu, kenyataan Najib terbukti bercanggah apabila laman web direktori Pejabat Perdana Menteri sendiri menunjukkan bahawa terdapat lima pegawai yang berkhidmat di bawah FLOM, yang diketuai Siti Azizah Sheikh Abod seperti yang dilaporkan Harakahdaily di sini.

“Apabila maklumat itu dibongkar dan dijadikan pengetahuan umum oleh sebilangan media dan juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, maklumat tersebut telah hilang secara misterinya daripada laman web tersebut. Kebenaran mengenai peruntukan kepada jabatan tersebut masih belum dimaklumkan.

Bahkan, penemuan baru ‘Jabatan Wanita Pertama Malaysia’ langsung tidak disebutkan dalam empat jilid Senarai Perjawatan Persekutuan, yang merupakan sebahagian daripada kertas Bajet Persekutuan 2011.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana dan berapa banyak peruntukan telah diberikan kepada jabatan ini dan apakah fungsi jabatan ini,” ujar Liew dalam kenyataannya.

Semakan Harakahdaily baru-baru ini juga mengesahkan bahawa laman web directori Pejabat Perdana Menteri yang menyenaraikan jabatan FLOM telah dibuang seperti yang didakwa Liew.

Selain FLOM, Liew berkata dalam laman directori yang dipadamkan tersebut terdapat banyak lagi jawatan-jawatan berupa penasihat untuk isu-isu tertentu yang tidak dinyatakan dalam kertas Bajet Persekutuan 2011.

Ini meliputi Datuk Seri Dr Abdullah bin Md Zin sebagai penasihat hal-ehwal agama Islam, Datuk Shahidan Kassim sebagai penasihat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Datuk Seri Jalaludin bin Bahaudin sebagai penasihat media, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya sebagai penasihat perhubungana antarabangsa dan Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abd Hamid sebagai penasihat sains.

Menurut Liew, setiap penasihat diberikan sekurang-kurangnya satu staf untuk membantu tugas mereka.

Liew turut mengingatkan bahawa Jabatan Perdana Menteri merupakan pihak yang paling besar perbelanjaannya jika dibandingkan dengan kementerian yang lain, dan disasarkan akan menerima RM 15.8 billion tahun ini yang tidak termasuk peruntukan kepada Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Dengan rekod perbelanjaan tertinggi berbanding dengan tahun-tahun yang lepas dan lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan pada tahun 2007… dengan ini, saya menyeru Perdana Menteri untuk menyajikan jawapan yang jujur tentang isu ini dan bertanggungjawab kepada rakyat.

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui bagaimana duit rakyat digunakan,” ujar Liew.

No comments

Powered by Blogger.