Kedutaan Malaysia di Mesir lambat bertindak, tidak wibawa

Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Kaherah bersikap birokratik dan tidak mendengar pandangan sarjana Malaysia yang berkhidmat di Kaherah sedangkan mereka lebih mengetahui situasi politik Mesir dan rantau Asia Barat, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

“Apa yang berlaku di Kaherah akibat daripada dasar Kerajaan yang memilih pegawai yang tidak berkemampuan dan terputus (disconnected) dari persekitaran mereka beroperasi.

“Kealpaan Jabatan Penuntut Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Kaherah turut berpunca dari kelemahan pegawai tertinggi yang tidak mengetahui bahasa Arab. Akibatnya mereka tidak dapat mengikuti perkembangan politik yang sepenuhnya dalam bahasa Arab

“Proses ini boleh dilakukan lebih awal dan teratur jika kedutaan di Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia mempunyai maklumat cukup tentang proses politik yang berlaku di Mesir.

“Bukan sahaja pelajaran mereka tergendala, tetapi keselamatan terancam di tengah-tengah konflik antara pejuang demokrasi di Mesir dengan pemerintah kuku besi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmin kesal kerana kerajaan Malaysia lewat bertindak berbanding negara lain untuk menjamin keselamatan dan kebajikan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir.

“Kerajaan Malaysia juga tidak memberi maklumat secukupnya untuk meredakan kebimbangan puluhan ribu rakyat Malaysia yang mempunyai anak-anak dan saudara mara di Kaherah, Iskandariah dan lain-lain tempat di negara itu.

“Pemindahan rakyat Malaysia adalah yang terbesar dalam sejarah. Justeru, rakyat Malaysia bersama keluarga dan sahabat menunggu kepulangan mereka dan kita berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin menyatakan solidariti bersama rakyat Mesir yang menuntut Presiden Hosni Mubarak untuk meletakkan jawatan dan memulakan langkah jelas untuk melaksanakan demokrasi.

“Kita mahu pilihan raya bebas dan adil dilaksanakan segera agar rakyat Mesir dapat menentu kerajaan baru yang demokratik. Ketika yang sama, kita prihatin dengan kesulitan kira-kira 11,000 pelajar Malaysia di negara itu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.