Kelantan pimpin Liga

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0213/Kosmo/Sukan/su_05.1.jpg

KAPTEN Kelantan, Badri Radzi (kiri) melepaskan sepakan ke arah pintu gol Johor FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, malam tadi.

KELANTAN mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan ketika menewaskan Johor FC 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malam tadi.

Kejayaan tersebut menyaksikan skuad kendalian M. Karathu itu merampas status pendahulu daripada Negeri Sembilan yang tumpas 0-2 kepada Perak dalam satu lagi perlawanan di Stadium Ipoh.

Begitupun, Kelantan terlebih dahulu dikejutkan Johor FC apabila ketinggalan 0-1 pada minit ke-25 hasil jaringan Mohd. Riduan Ma'on.

Tersentak dengan jaringan tersebut, The Red Warriors terus bangkit dan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-29 menerusi Nurul Azwan Roya dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, tuan rumah menunjukkan kehebatan sebenar apabila meledak tiga gol lagi menerusi jaringan sendiri pemain Johor FC, Mohd. Riduan Ma'on pada minit ke-50 sebelum penyerang skuad negara, Norshahrul Idlan Talaha manambah gol ketiga pada minit ke-72 dan Nizad Ayub melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-77.

Kemenangan ini menyaksikan Kelantan terikat tujuh mata dengan Perak, namun mempunyai kelebihan menerusi perbezaan gol.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, tuan rumah, Pahang tersungkur 1-2 kepada Felda United.

Gol Felda United dijaringkan oleh Liew Kit Kong menerusi sepakan penalti pada minit ke-47 dan sepakan percuma Faderin Kadir (minit ke-59) sementara gol Pahang pula dijaringkan oleh Azamuddin Mohd. Akil pada minit ke-77.

Di Stadium Shah Alam, juara bertahan, Selangor terus gagal mencatat kemenangan kedua apabila diikat oleh Kuala Lumpur 1-1.

Perlawanan lain semalam menyaksikan Harimau Muda A menewaskan T-Team 3-1 sementara Sabah menewaskan Kedah 1-0.

No comments

Powered by Blogger.