Malaysia Baru: PAS kemuka 10 jaminan istimewa

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 19 Feb: PAS hari ini memberikan jaminan istimewa terhadap sepuluh perkara dalam usaha mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang mengangkat mertabat kaum Melayu dan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan jaminan itu di dalam Konvensyen Pengupayaan Bangsa Jaminan PAS berlangsung di Auditorium MBSA, dekat sini.

Menurutnya, sepuluh perkara itu terdiri daripada mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Jaminan itu juga meliputi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, KWSP dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Tanbahnya, struktur subsidi negara dirombak bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti gas sebanyak RM19 bilion kepada penjanan bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;

Mengiktiraf peranan dan jasa awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru mendidik bangsa;

“Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

“Menyediakan perkhidmatan internet wi-fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa rakyat.

“Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda,” ujarnya.

Elain itu, katanya royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan dinaikkan kepada 20 peratus dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Negeri Sabah.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, dasar dan pendekatan Pengupayaan Bangsa Jaminan PAS telah dibentangkannya untuk tatapan semua.

"Masa telah sampai untuk kita menggemblengkan seluruh tenaga dan sumber bagi mengangkat martabat umat Islam, mendayakan bangsa Melayu dan melahirkan politik lita'arafu yakni politik saling menghormati.

"Semua usaha ini adalah bagi melahirkan sebuah Malaysia baru yang menjunjung tinggi tuntutan Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua yang bebas rasuah, kezaliman dan penyelewengan kuasa,” katanya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap merasmikan konvensyen dengan memberikan penekanan terhadap peri pentingnya masyarakat negara ini diberi kefahaman paling tepat dan memudahkan.

Semua wakil PAS kawasan daripada seluruh negara hadir dalam konvensyen sehari yang turut menampilkan ramai tokoh antaranya; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Budayawan dan Cendikiawan terkenal, Prof Emiritus Dr Abu Bakar Abdul Hamid dan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail termasuk Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Turut mendapat perhatian adalah ucapan dan pandangan daripada pengarah konvensyen yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Wong Chin Huat.

No comments

Powered by Blogger.