MCA mahu formula agihan kerusi dikaji semula

IPOH: MCA mahu formula pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang diguna pakai Barisan Nasional (BN) ketika ini dikaji semula berikutan perubahan senario politik negara sekarang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata formula sebelum ini yang memperuntukkan kerusi untuk parti komponen BN tertentu sudah tidak lagi sesuai jika calon dikemukakan parti komponen itu tidak mampu memberi kemenangan kepada BN.
“Pendek kata, jika kerusi itu (asalnya) milik UMNO, MCA, Gerakan, MIC atau mana-mana parti komponen, tidak semestinya kerusi itu diberikan kepada parti berkenaan (pada PRU akan datang).

“Apa yang lebih penting ialah mana satu calon BN yang boleh menang, itu bagi saya yang lebih penting. Tidak guna jika kita menuntut kerusi, tetapi dalam pilihan raya kita kalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA Perak di sini, semalam.

Justeru, Dr Chua yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Perak, berkata MCA tidak akan menuntut mana-mana kerusi pada PRU akan datang, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN untuk memilih calon yang sesuai bertanding bagi sesuatu kerusi.

Beliau menyatakan sokongan terhadap saranan Najib sebelum ini supaya BN mengemukakan calon yang boleh menang tanpa mengira parti komponen mana diwakilinya.

Sementara itu, Dr Chua berkata, BN masih mempunyai kelemahan daripada segi publisiti sehingga banyak perkara membabitkan kebajikan rakyat yang dilakukan parti dan kerajaan tidak diketahui rakyat berbanding pembangkang yang bijak memanipulasi maklumat.

Beliau memberi contoh hampir seluruh rakyat negara ini mengetahui tindakan kerajaan Pulau Pinang memberikan wang RM100 setahun kepada warga tua negeri itu berbanding perbelanjaan mencecah berbilion ringgit dibelanjakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membela nasib rakyat kurang bernasib baik.

“Soal publisiti ini BN tidak pandai... kita ingat orang tahu walhal rakyat tidak tahu. Kita rasa bagi sekali saja ucapan orang sudah tahu, saya berpendapat itulah kelemahan kita.

“Pemberian RM100 di Pulau Pinang, semua orang tahu, tetapi ramai tidak tahu JKM belanja hampir RM1 bilion untuk membela nasib orang miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), orang istimewa.” katanya.

No comments

Powered by Blogger.