Musa Fathullah, Harlina terima anugerah tokoh

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 15 Feb: Dua tokoh terkenal, Dr Musa Fathullah Harun dan Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj dianugerahkan sebagai Tokoh Imam Ghazali dan Tokoh Siti Khadijah sempena Sambutan Maulidur-Rasul Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Berdasarkan pengalaman dan sumbangan besar di dalam bidang masing-masing kepada rakyat Negeri Selangor khususnya, mereka berdua termasuk pemenang tiga anugerah lain dinobatkan dalam majlis gilang gemilang yang berlangsung di Stadium Malawati, dekat sini.

Dr Musa merupakan tokoh aktif sehingga kini dengan bilangan buku yang banyak dihasilkan secara ilmiah; karya terbaharu adalah mengenai jawapan beliau terhadap mereka yang menidakkan Maulidur-Rasul yang dilancarkan di Indonesia, baru-baru ini.

Antara buku terkenal beliau juga adalah Perjalanan Rabbani, Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat dan Undang-undang Jenayah Islam, ketika ditemui berazam menghabiskan usianya dengan menulis buku sebagai satu bentuk penyebaran ilmu.

Dr Harlina pula terlibat di dalam bidang sosial masyarakat, acapkali suaranya berkumandang di stesen radio yang bercakap tentang kesihatan tubuh badan dan keperluan kesihatan jiwa dan perasaan manusia sebagai hamba Allah.

Beliau merupakan Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia dan banyak memberikan sumbangan dalam membantu anggota masyarakat agar kembali berpegang teguh kepada ajaran agama meskipun kini berada dalam negara yang bergerak ke arah lebih maju.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mewakili Sultan Selangor yang kini berada berada di luar negara.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, Mufti Selangor, Datuk Seri Setia Mohd Tamyez Abdul Wahid dan pegawai kerajaan serta orang ramai.

Sebelum itu, sekitar 100 kontinjen dari berbagai agensi kerajaan, badan korporat, NGO, masjid dan pelajar sekolah telah menyertai perarakan dari Stadium Mini Shah Alam menuju ke Stadium Malawati sejak awal pagi mewujudkan suasana panca warna.

Dalam majlis sama, Siti Nadhirah Shafie, 18, dinobatkan dengan Anugerah Saidina Ali, Tan Sri Hashim Meon (Anugerah Omar Abdul Aziz) dan Mohd Nasir Abdul Ghani (Anugerah Khalid AlWalid).

Nadhirah merupakan calon termuda SPM dalam usia 15 tahun dan pelajar Matrikulasi UIAM dalam usia 16 tahun kini melanjutkan pengajian dalam Diploma Kepimpinan dan pengurusan Strategik Kolej Al-Itqan.

Beliau juga merupakan Johan Menghafaz Al-Quran pada 2009 dan 2010 peringkat Kebangsaan 30 juzuk dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Jordan untuk pertandingan 30 juzuk pada 2009.

Nadhirah merupakan anak keenam kepada Pengasas Kaedah Hafaz Al-Quran Al-Muqri, Dr Shafie yang kini mengasaskan Kolej Al-Itqan dengan lebih 200 pelajar pengkhususan kajian Al-Quran di Ampang.

Tan Sri Hashim Meon merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang memperkenalkan penggunaan ICT secara meluas dalam pentadbiran negeri, Pengerusi Majlis Agama islam Selangor (MAIS) dan Ahli Majlis Diraja Selangor.

Mohd Nasir pula adalah pegawai Bomba yang banyak menjadi pengarah operasi besar antaranya seperti Highland Towers dan merupakan Bendahari anggota Bomba Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.