PAS kena fokus ekonomi raih sokongan Melayu, kata Teras

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


SHAH ALAM, 19 Feb – Sebuah pertubuhan Melayu menegaskan PAS tidak akan mendapat kepercayaan dan sokongan orang Melayu sekiranya gagal memahami ekonomi masyarakat majoriti itu dan mencari jalan penyelesaian.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata PAS masih belum mencapai satu tahap maksimum untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Beliau juga memberi amaran kepada PAS yang kini diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tidak mengabaikan masalah ekonomi orang Melayu di peringkat akar umbi.

Jelas Mohd Azmi, PAS perlu melihat dari ruang lingkup yang besar jika ingin menjadi sebuah parti yang membela orang Melayu.

“PAS tidak akan boleh jadi jaminan kepada orang Melayu kalau PAS tidak lihat Melayu itu Melayu dalam pelbagai pecahan termasuk keperluan orang Melayu.

“PAS perlu beri tumpuan kepada keperluan petani Melayu, nelayan Melayu, peniaga Melayu, pendidik Melayu, profesional Melayu dan keperluan yang lain,” katanya pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di sini.

Kata Mohd Azmi, PAS perlu menyediakan satu manifesto yang jelas kepada golongan tersebut supaya orang Melayu jelas tentang dasar perjuangan parti Islam itu.

“Keperluan ini perlu diberi perhatian, kalau kita lihat beza nelayan Melayu dengan nelayan bukan Melayu atau petani Melayu dengan petani bukan Melayu... orang Melayu jelas terpinggir,” katanya.

Bercakap soal “53 Tahun Merdeka, Hak Melayu Terhakis”, Mohd Azmi berkata agama Islam yang merupakan agama rasmi hanya “kosmetik” di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Agama Islam di Malaysia hanya kosmetik, ia hanya menonjol ketika sambutan Maulidur Rasul dan tilawah.

“Islam adalah agama persekutuan, pemimpin terutamanya di Putrajaya tidak berminat untuk terjemahkan supaya Islam jadi lebih dominan,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan perlu menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran negara.

“Patut buat macam itu tapi selama 53 tahun ia dipinggirkan, kedudukan agama Islam betul-batul sudah terpinggir.

“Islam bukan jadi pertimbangan untuk melakukan sesuatu, kita sekarang menghadapi penghakisan agama Islam,” katanya.

Pagi tadi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi jaminan bahawa PAS tidak akan mengetepikan kepentingan dan nasib orang Melayu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya menerusi gandingan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

“Islam tak jadikan agenda perjuangan Melayu sebagai keutamaan, adakah orang Melayu akan mundur tanpa bantuan Umno?

“Bagi PAS orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia),” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.