PAS teliti empat nama, Kintan dan Yuhaizan jadi pilihan

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 13 Feb — PAS telah meneliti empat nama calon yang akan dipilih bagi mewakili parti Islam tersebut dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pimpinan PAS pusat yang bermesyuarat hari ini telah menerima empat nama darpada PAS Melaka untuk diteliti.

“Kita telah menerima empat nama untuk diteliti secara keseluruhan dan kita sudah ada keputusan rasmi.

“Calon yang kita pilih adalah anak tempatan dan ia hanya akan diisytiharkan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pada 24 Februari ini di Merlimau,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Empat nama yang diangkat PAS Melaka itu adalah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man selain Ketua Penerangan PAS Melaka Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.

Ditanya peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil kawasan itu, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS Merlimau berkata, ia tidak mustahil memandangkan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kubu kuat seperti dua siri pilihan raya kecil di Galas dan Tenang.

“Tak mustahil kita dapatkan kerusi pertama PAS di Merlimau, di sana tiada kubu kuat BN.

“Kalau kita lihat peti undi di sana juga adalah peti undi campuran, jadi dengan pendekatan yang kita gunakan nampak lebih mudah peluang kita,” katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin tertinggi PAS berkata dua nama iaitu Kintan dan Yuhaizan telah disenarai pendek untuk menjadi calon.

“Apa yang boleh saya katakan kita terima empat nama tapi dua nama iaitu Kintan dan Yuhaizan disenarai pendek manakala Kamarudin dan Jasme tidak.

“Tapi saya tidak tahu siapa yang akan dipilih, kita tunggu sahaja Presiden PAS umumkan pada 24 Februari ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan 6 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

No comments

Powered by Blogger.