Pejabat Adun Pantai Jerjak diceroboh

Masdar Wahid

BAYAN LEPAS: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sim Tze Tzin dipecah masuk malam tadi.

Setiausaha peribadi kepada Sim, Victor Seow Koo Tatt berkata, sebuah komputer dan dua monitor hilang dalam kejadian itu dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

Menurut Seow, terdapat beberapa maklumat penting dalam komputer tersebut dan beliau tidak menolak pencerobohan pusat khidmat bertempat di Jalan Rumbia, Bayan Lepas itu bermotifkan politik.

“Kejadian itu hanya disedari apabila pembantu pusat khidmat DUN Pantai Jerjak, Idris Hassan membuka pejabat kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Idris dan Kumaresan Arumugam yang juga pembantu pusat khidmat itu ketika ini (11.45 pagi tadi) sedang membuat laporan di balai polis berhampiran dan kami tidak menolak pencerobohan ini bermotifkan politik kerana beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sebelum ini turut berdepan masalah sama,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Pada 7 April tahun lalu, pejabat Adun Batu Maung, Abdul Malik Kassim turut diceroboh dengan beberapa peralatan pejabat turut hilang termasuk satu Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dicuri.

Malik Kassim juga merupakan Adun KEADILAN di negeri itu dan kini menjawat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang.

No comments

Powered by Blogger.