Pembukaan semula Hentian Puduraya ditangguh lagi

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0219/Kosmo/Negara/ne_09.1.jpg

HENTIAN Puduraya yang masih dalam kerja-kerja menaiktaraf.

KUALA LUMPUR - Hentian Puduraya yang sebelum ini dijadualkan dibuka semula pada 2 Februari lalu sekali lagi terpaksa ditangguh sehingga 16 April ini.

Ini berikutan masih terdapat kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian yang dilakukan sejak April tahun lalu perlu diperbaiki.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika mengadakan lawatan ke perhentian bas tersebut ternyata tidak berpuas hati dengan perkembangan tersebut.

"Saya masih kurang berpuas hati dengan beberapa perkara, oleh itu, saya minta pihak yang terlibat agar memperbaikinya dengan segera.

"Untuk itu, Hentian Puduraya ini tidak boleh dibuka pada 1 Mac sebaliknya ia dijadual akan dibuka pada 16 April ini selepas kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar pembukaan semula Hentian Puduraya di sini semalam.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Pengarah Urusan Uda Holdings Berhad, Datuk Jaafar Abu Hassan dan Ketua Operasi Negeri dan Pelesenan Terminal Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd. Ahmad Fuad.

Pada 26 Februari tahun lalu, Kosmo! melaporkan penutupan Hentian Puduraya selama empat bulan untuk proses ubahsuai.

Pengubahsuaian tersebut dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu sekitar September dan bakal memberi lebih keselesaan kepada ribuan pengguna.

Bagaimanapun, pembukaan semula Hentian Puduraya pada September tahun lalu terpaksa ditangguhkan selepas kontraktor gagal menyiapkan kerja-kerja pada tarikh yang ditetapkan.

Ketika ditanya mengenai ketidakpuasan hati terhadap beberapa perkara, Raja Nong Chik menjelaskan, antara yang menjadi masalah ialah siling di beberapa sudut di hentian terbabit kelihatan rendah dan khuatir ia akan menjejaskan keselamatan penumpang di hentian terbabit.

No comments

Powered by Blogger.